JAZEMAN, Selim Lakar Kemenangan Di Fuji

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

8/21/20241 min read

GANDINGAN pelumba negara, Jazeman Jaafar dan Selim Rafique merangkul kemenangan pada Pusingan 4 kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Asia Cup 2024 yang berlangsung di Fuji Speedway, Jepun minggu lalu.

Beraksi bersama pasukan Taxshield Arrows Racing, Jazeman dan Selim berjaya muncul juara pada Perlumbaan 1 pada aksi di litar sejauh 4.5 kilometer sepusingan itu.

Terkenal sebagai litar yang menuntut kemampuan teknikal tinggi dan selekoh laju, gaya pemanduan agresif Jazeman dan strategi membuahkan hasil untuk mereka mendahului perlumbaan sejak awal.

Menariknya, gandingan itu turut berjaya mendapatkan hentian pit yang sempurna yang dilihat cukup penting mengekalkan kelebihan mereka sebagai pendahulu perlumbaan.

"Kemenangan di Fuji Speedway adalah kejayaan membanggakan bagi kami dan hasil daripada usaha keras keseluruhan pasukan Taxshield Arrows Racing,” kata Jazeman.

"Selim dan saya dapat melaksanakan strategi kami dengan sempurna, dan jentera kami beraksi dengan amat baik. Kami cukup gembira dengan keputusan ini dan tidak sabar untuk mengharungi perlumbaan berikutnya."

Selim dalam pada itu berharap momentum kemenangan di Jepun dapat diteruskan pada pusingan berikutnya iaitu di China.

"Menang di Fuji memang menakjubkan," kata Selim. "Sokongan pasukan dan prestasi jentera cukup baik. Jazeman dan saya juga bekerjasama dengan cukup harmoni, dan kami teruja untuk meneruskan momentum ini."

Begitupun, tiada kedudukan di podium buat Jazeman dan Selim pada Perlumbaan 2 di Fuji dengan gandingan berkenaan hanya berjaya meraih tempat keempat.

Pusingan 5 Lamborghini Super Trofeo Asia Cup 2024 dijadual berlangsung pada 13 hingga 15 September depan di Shanghai, China.