JDT Racing Team Ada Rancangan Bangunkan Semula Litar Pasir Gudang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/4/20241 min read
PELUANG untuk melihat Litar Pasir Gudang kembali mewarnai peta sukan permotoran negara kembali bersinar terutama selepas pelancaran JDT Racing Team yang dijadual beraksi di kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.
Ketika pelancaran pasukan yang dipacu pelumba berpengalaman, Hafizh Syahrin Abdullah itu baru-baru ini, salah seorang 'orang kuat' pasukan itu ada menyatakan sesuatu yang menarik membabitkan litar yang sudah beberapa tahun terbiar itu.
Berdasarkan kata-kata Pengurus Besar JDT Racing Team, Steven Tan, pasukan itu memang memiliki rancangan untuk membangunkan semula litar berkenaan dalam usaha melahirkan pelumba-pelumba berbakat negara.
"Ada rancangan untuk bangunkan litar Pasir Gudang di masa depan untuk dijadikan akademi (JDT Racing Team) untuk pelumba-pelumba seluruh negara dan harapnya satu hari nanti kita akan mendapat seorang lagi Hafizh Syahrin," kata Steven.
Sebagai info, Litar Pasir Gudang pada satu ketika dulu pernah menjadi venue kepada perlumbaan Grand Prix Motosikal (ketika ini dikenali MotoGP) pada tahun 1998.
Dibina pada tahun 1989 dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-8, Litar Pasir Gudang memiliki jarak 3.86 km dan 12 selekoh.
Menurut informasi yang diperoleh, litar berkenaan ditutup bagi memberi laluan kepada proses penyelenggaraan dan pemulihan beberapa tahun lalu sebelum ia kini berada dalam status terbiar.
Selain JDT Racing Team, pasukan lumba 4 roda dari Johor, Johor Motorsports Racing Team (JMR) juga pernah menyatakan merancang untuk membangunkan semula litar berkenaan.