JDT Racing Team Labur Sekitar RM 5 Juta Musim Pertama Di ARRC

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/4/20241 min read

SEKITAR RM 5 juta. Itu pelaburan JDT Racing Team pada penampilan sulung pasukan itu di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini menggunakan jentera Ducati serta dipacu pelumba berpengalaman, Hafizh Syahrin Abdullah.

Pendedahan menarik itu dinyatakan oleh Ketua Unit Komersil Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Kevin Ramalingam dalam sidang media pelancaran JDT Racing Team, baru-baru ini.

"Seperti semua tahu, sukan permotoran memang agak mahal dan bila kita nak buat dengan cara yang betul seperti memilih jentera antara yang paling mahal, kami tidak pernah cuba menyimpan, jika kami bukan JDT, mungkin separuh daripada yang kami keluarkan sekarang," kata Kevin.

"Tetapi kami nak buat dengan cara JDT, kami mahu pergi sejauh yang mungkin."

Dan ketika ditanya mengenai anggaran bajet yang diperuntukkan oleh pasukan itu dalam bentuk angka, Kevin berkata: "Tidak lebih daripada RM 5 juta (anggaran).

"Sebenarnya kita belum tahu sepenuhnya. Kami sudah memiliki bajet, tetapi ini tahun pertama kami dan kami perlu bermula dari bawah.

Mengulas lanjut, Kevin berkata pihaknya masih meneliti pelbagai perkara dengan bajet yang diperuntukkan berkemungkinan lebih besar.

Kevin dalam pada itu berkata JDT Racing Team turut mengharapkan kehadiran penaja, situasi yang boleh dilihat dalam arena bola sepak di mana pasukan JDT memperoleh penaja ternama dari dalam dan luar negara.

"Mungkin kita perlu cuba buktikan diri terlebih dulu dalam dalam arena ini sebelum penaja masuk. Setakat ini belum masih belum dapat lagi," katanya.