JENAMA Skuter Elektrik EZI Kini Di Malaysia, EZI TS1 Taruhan Pertama!

EZI adalah jenama skuter elektrik baharu yang diasaskan oleh Kumpulan Keeway pada tahun 2020 dan model pertama yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia adalah skuter urban EZI TS1 pada harga asas RM 4,288

PELANCARAN

12/25/20251 min read

PASARAN motosikal elektrik di Malaysia terus meriah apabila MForce Bike mengumumkan kehadiran satu lagi jenama di bawah edarannya, EZI.

Sebagai info, EZI adalah jenama skuter elektrik baharu yang diasaskan oleh Kumpulan Keeway pada tahun 2020 dan model pertama yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia adalah EZI TS1.

Menurut MForce Bike dalam satu hebahan media, EZI TS1 adalah skuter elektrik moden yang direka khas untuk kegunaan harian di kawasan bandar dengan gabungan teknologi pintar, praktikaliti dan kecekapan tenaga.

Sebagai permulaan, ia ditawarkan pada harga RM4,288.00 (tidak termasuk cas pendaftaran dan insurans).

Tiga pilihan warna iaitu:

  • Blue

  • Orange

  • White

Dan apa yang menarik, EZI TS1 sudah pun boleh didapati di semua pengedar sah MForce Bike seluruh negara.

Ulas spesikasi EZI TS1, ia dikuasakan oleh motor hab berkuasa 2,000 W dan digandingkan dengan bateri Graphene 72V32Ah. Untuk pengecasan, EZI TS1 mengambil masa kira-kira 8 jam 30 minit untuk pengecasan penuh dari 0 hingga 100%.

Setiap pengecasan penuh mampu mengharungi jarak tunggangan sehingga 100 km dengan kelajuan maksimum sekitar 65 km/j.

Apa yang menarik, menurut MForce, skuter elektrik ini turut memiliki tiga mod tunggangan, ciri Kawalan Jelajah atau 'Auto Cruise' dan Walk Assist Function (mod E) yang memudahkan pergerakan pada kelajuan rendah atau di ruang sempit.

Aspek keselamatan menyaksikan EZI TS1 menggunakan brek cakera bersama ciri Combined Braking System (CBS).

Info lain:

  • Set roda 90/90-12 (depan), 100/80-12 (belakang)

  • Dimensi 1,840 mm panjang, 705 mm lebar dan 1,200 mm tinggi, jarak roda 1,300 mm

  • Tinggi pelana 755 mm

  • Panel meter LCD bersaiz 7 inic

  • Port pengecas USB Type-A

  • Lampu LED

  • Sistem Tanpa Kunci (keyless) berasaskan NFC

  • Berat 82 kg (tanpa bateri)