JENTERA Aprilia Lagi Laju Dari Ducati Tapi...
Kenyataan 'panas' Dovizioso itu hadir selepas pelumba Ducati, Marc Marquez - individu yang pernah menewaskannya untuk merangkul gelaran dunia pada 2017, 2018 dan 2019 - berjaya memadam defisit 102 mata ketinggalan di belakang Aprilia untuk kini berada di ambang gelaran dunia ke-10 dalam kariernya
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/17/20261 min read


BEKAS pelumba Ducati MotoGP, Andrea Dovizioso menyifatkan Aprilia sebenarnya memiliki jentera yang lebih laju berbanding Ducati pada musim ini, namun mensia-siakan kelebihan yang dimiliki dalam perebutan kejuaraan dunia.
Kenyataan 'panas' Dovizioso itu hadir selepas pelumba Ducati, Marc Marquez - individu yang pernah menewaskannya dan Ducati untuk merangkul gelaran dunia pada 2017, 2018 dan 2019 - berjaya memadam defisit 102 mata untuk kini berada di ambang gelaran dunia ke-10 dalam kariernya.
Bercakap menerusi podcast miliknya, 04 Bar, Dovizioso memberikan pujian melambung terhadap pencapaian luar biasa yang dipamerkan Marquez sepanjang kempen musim ini.
"Tiada gunanya untuk terus mengulangi betapa bagusnya Marquez, betapa dia layak meraihnya dan hakikat dialah pelumba paling kuat," kata Dovizioso.
Menurut Dovi, analisis pada musim ini membuktikan jentera Aprilia lebih kuat serta lebih pantas berbanding Ducati selepas berjaya membina pendahuluan melebihi 100 mata.
"Jika anda lebih pantas dan terbukti jentera itu lebih kompetitif berbanding Ducati di lebih banyak litar, namun anda tidak memenanginya, itu bermakna anda sudah mensia-siakannya," kata Dovizioso.
Menjelang pusingan ke-2 terakhir di Portimao hujung minggu ini, Marquez kini hampir pasti menggenggam mahkota kejuaraan apabila mendahului Jorge Martin dengan kelebihan 60 mata dan 74 mata di depan Marco Bezzecchi.
Mengulas kebangkitan dramatik itu, Dovizioso mengakui kejayaan Marquez selepas menjalani pembedahan dan mengharungi kekangan fizikal sebagai sesuatu yang sangat mengagumkan.
"Selepas pembedahan, apa yang berjaya dilakukan Marquez sangat mengagumkan. Dengan keadaan fizikalnya, mampu melakukan apa yang dilakukannya adalah luar biasa dan dia sendiri pernah menyatakan di Qatar dari segi mental, dia berada dalam situasi terbaik sepanjang kariernya," katanya.
Dan menurut Dovizioso, kekuatan mental menjadi pembeza terbesar antara Marquez dengan mana-mana pelumba lain tahun ini selepas pelumba Sepanyol itu terpaksa menyesuaikan gaya tunggangan akibat batasan fizikal dialaminya.
"Dari sudut mental, dia mencipta perbezaan besar tahun ini berbanding pelumba lain. Dia terpaksa menyesuaikan diri disebabkan kekurangannya, jadi dia menggandakan dan memperbaiki aspek lain dengan lebih hebat bagi menampung apa yang tiada," katanya.

