JENTERA Aprilia Tak Mahu Ikut 'Cakap' Saya - Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/13/20251 min read


JORGE Martin yang membuat debut di MotoGP musim ini di Grand Prix Qatar 2025 menegaskan menamatkan perlumbaan boleh dianggap sebagai 'kemenangan' dan pelumba Aprilia itu melakukannya apabila melintas garisan penamat di Losail di tempat ke-16.
Memulakan perlumbaan di petak ke-14, Martin pada satu ketika berjaya bersaing dalam kelompok 10 terbaik pada Perlumbaan Sprint, awal pagi tadi yang dimenangi Marc Marquez.
Dan sekali pun menamatkan perlumbaan di tempat ke-16, penyandang juara dunia MotoGP yang tersisih tiga pusingan itu mengakui potensi yang dimiliki jentera Aprilia RS-GP namun ada perkara yang membelenggunya.
"Bagus untuk melihat bendera dikibarkan, tidak kemalangan, dan boleh melakukan beberapa lagi pusingan," kata Martin. "Saya hanya dapat melakukan dua pusingan secara berturut-turut semalam (Jumaat) dan hari ini saya melakukan 11. Jadi saya fikir ia langkah yang besar.
"Kami perlu terus seperti ini. Saya merasakan saya tidak berada di posisi terbaik di atas jentera, jadi segala-galanya amat menekan dari sudut fizikal, tidak hanya kerana tangan saya tetapi kerana posisi saya.
"Jadi kami perlu bekerjasama mengenai perkara ini dengan Aprilia, faham bagaimana mereka boleh membantu saya untuk mendapatkan semula gaya tunggangan saya yang normal.
"Saya fikir potensinya adalah besar. Saya fikir hari ini dengan keadaan fizikal saya yang normal, saya boleh pergi keQ2 (Kelayakan 2) pada perlumbaan pertama saya dengan Aprilia.
"Jadi saya fikir kami berada di posisi yang baik. Kemudian dari sudut kelajuan, saya sedikit bergelut. Saya tidak fikir saya menunggang dengan baik. Mungkin saya meminta jentera saya sesuatu yang saya biasa lakukan tetapi ia tidak menerimanya.
"Jadi kami perlu fagam bagaimana merkea boleh membantu saya dan bagaimana saya boleh membantu jentera. Beberapa pusingan pertama bagus, beberapa pintasan, beberapa tanda kelajuan," kata Martin yang pada satu ketika turut memintas pencabar utamanya musim lalu, Francesco Bagnaia ketika perlumbaan.
