JENTERA Moto2 CFMoto Aspar Jadi Projek R&D RCB

Unit yang diperoleh RCB adalah jentera Moto2 pernah ditunggang oleh pelumba sensasi pasukan CFMoto Aspar yang juga atlet di bawah program RCB Athletes, David Alonso di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/19/20261 min read

JENAMA pengeluar aksesori motosikal terkemuka negara, RCB terus mengorak langkah apabila menerima salah satu aset terpenting dalam memacu kapasiti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) jenamanya dengan penerimaan sebuah jentera Moto2 daripada pasukan CFMoto Aspar.

Apa yang lebih mengujakan, jentera berprestasi yang diperoleh adalah unit yang pernah ditunggang oleh pelumba sensasi pasukan itu yang juga atlet di bawah program RCB Athletes, David Alonso.

Menurut RCB, kehadiran jentera itu memberi akses eksklusif kepada pasukan teknikalnya untuk mengkaji, menganalisis dan menterjemah keupayaan kejuruteraan dari pentas perlumbaan paling kompetitif di dunia.

Syarikat itu berkata, keberadaan mereka di litar lumba dunia bukan lagi sekadar kosmetik, penjenamaan jenama atau tajaan semata-mata sebaliknya, ia berfungsi sebagai platform 'dunia sebenar' buat barisan jurutera menimba ilmu serta pengalaman bernilai ketika komponen diuji pada tahap paling ekstrem.

Pengarah Perniagaan dan Sukan Permotoran Kumpulan MKA, Doc Dol, menegaskan inisiatif itu adalah bukti komitmen serius syarikat dalam menghasilkan produk berprestasi tinggi untuk pasaran.

"Bagi kami, ini bukan sekadar penjenamaan. Matlamat sebenar adalah untuk memperkukuh keupayaan teknikal dan paling penting, mempraktikkan segala ilmu kejuruteraan yang kami peroleh secara terus.

"Apa yang kami pelajari dari litar perlumbaan akan diterjemahkan terus kepada produk komersial. Pengalaman, data dan pengetahuan teknikal yang diraih dari jentera Moto2 ini membolehkan jurutera kami memahami secara mendalam tentang keperluan prestasi.

"Hasilnya, kami dapat menambah baik kualiti produk yang akhirnya akan digunakan oleh penunggang, sama ada di litar mahupun di jalanan biasa," katanya.

Dalam pada itu, jentera Moto2 yang sarat dengan elemen teknologi canggih ini bakal dipertontonkan secara dekat kepada umum sempena penganjuran sulung Hari RCB pada 23 Ogos 2026 bertempat di Heritage Valley, Kuala Lumpur.