JENTERA MotoGP Yamaha Tak Kompetitif, VR46 Kekal Dengan Ducati - Rossi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/16/20231 min read

TAK dapat dinafikan sejarah dan kejayaan yang diraih Valentino Rossi bersama Yamaha memang cukup mengagumkan tetapi hubungan erat itu tak mampu 'memikat' juara dunia tujuh kali MotoGP itu untuk meninggalkan Ducati.

Selepas menggantung sut lumpa di pentas MotoGP pada 2021, Rossi mempertaruhkan pasukannya VR46 atau dikenali sebagai Mooney VR46 Racing Team pada musim 2022 sebagai pasukan satelit Ducati.

Pada musim pertamanya, pasukan itu berjaya meraih kedudukan podium sulung menerusi Marco Bezzecchi namun pelumba Itali itu 'mengganas' musim ini apabila merangkul empat kedudukan podium termasuk dua kemenangan hanya selepas sembilan pusingan.

Dan sekalipun kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Yamaha bagi musim 2025 sebagai pasukan satelit pengeluar Jepun itu, Rossi enggan memanjangkan spekukasi berkenaan.

"Kami mempunyai dua pelumba yang hebat, dan kerana Ducati amat kompetitif, kami memperoleh keputusan yang baik," kata Rossi memetik laporan majalah Perancis, MAG.

"Untuk itu, kami tidak menimbang untuk mengubah jentera... Saya memperoleh tempoh terbaik dalam karier saya bersama Yamaha dan saya gembira untuk dapat mewakili jenama ini.

"Kini, VR46 adalah projek yang berbeza dan bukan saya seorang yang menguruskannya. Semua orang gembira dengan hubungan dengan Ducati. Kami memerlukan jentera yang kompetitif dan ketika ini, Yamaha M1 tidak," kata Rossi.