JENTERA Saya Sama Seperti Alex, Fermin - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/7/20251 min read


MARC Marquez mencetus sensasi apabila menyatakan jenteranya yang ditunggangnya ketika menjuarai Perlumbaan Sprint di Grand Prix Aragon 2025 adalah sama seperti digunakan adiknya, Alex Marquez, Fermin Aldeguer dan Franco Morbidelli.
Pelumba Ducati Lenovo itu merangkul kemenangan ke-7 Sprint miliknya musim ini dengan mengatasi permulaan buruk dan menewaskan Alex dengan kelebihan lebih dua saat di garisan penamat.
Memulakan perlumbaan di petak utama, juara dunia lapan kali itu terperosok ke tangga ke-3 sebelum berjaya memintas pendahulu pada pusingan ke-6 dan kekal di posisi berkenaan sehingga garisan penamat.
Sebagai rekod, Marc menjadi satu-satunya pelumbaan yang menggunakan jentera spesifikasi 'kilang' yang berada dalam kedudukan lima terbaik Perlumbaan Sprint dengan Fabio Di Giannantonio (ke-6) dan rakan sepasukannya, Pecco Bagnaia ke-12.
Ducati sebelum ini sudah pun mengesahkan jentera 'kilang' mereka menggunakan enjin yang sedikit berbeza berbanding Ducati GP24 dan difahamkan juga beberapa komponen turut dinaik taraf.
Tetapi ketika ditanya mengapa dia menjadi satu-satunya pelumba 'kilang' Ducati yang berada di kelompol lima terbaik, Marc mengakui dia tidak mengetahuinya dan menegaskan diberitahu jentera ditunggangnya sama seperti Alex dan Aldeguer yang turut berada di podium.
"Saya bertanya banyak kali kepada jurutera-jurutera kami dan mereka sentiasa berkata perkara yang sama: Saya menunggang jentera yang memang cukup sama dengan Alex, Fermin dan Morbidelli," kata Marc memetik laporan Crash.net.
"Saya tidak tahu kenapa, tetapi kami memiliki jentera yang sama.
"Benar di Le Mans dan Silverstone saya menunggang dengan spesifikasi yang berbeza tetapi di sini saya datang semula kerana saya mahu yang sama seperti yang lain, kemudian pada ujian Isnin kami akan mempunyai masa untuk melakukan ujian. Beberapa perkara (kami berbeza)."
Marc Marquez dalam pada itu memberitahu yang 'masalah' yang dihadapinya pada permulaan perlumbaan akan cuba diatasi pasukannya.
