JENTERA Saya Sekarang Dah 'OK' - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/7/20251 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez mengharungi ujian yang positif di Jerez, Sepanyol, baru-baru ini tetapi juara dunia lapan kali itu belum mengetahui sama ada penambah baikkan yang dibuat akan dibawa ke Le Mans, minggu ini.
Marquez yang terjatuh ketika Grand Prix Sepanyol 2025 di Jerez bangkit merakamkan masa terpantas ujian post-musim MotoGP di litar sama sehari selepas perlumbaan berakhir.
Selepas menamatkan perlumbaan di Jerez di tempat ke-12, Marquez terpaksa menyaksikan kedudukannya selaku pendahulu dirampas adiknya, Alex Marquez dari Gresini Ducati dengan kelebihan 1 mata.
"Kita akan lihat sama ada kami akan menggunakannya (pembaharuan pada Ducati GP25) pada perlumbaan berikutnya...", kata pelumba Sepanyol itu.
"Kami perlu berhati-hati mengenai apa yang kami cuba. Benar kami tidak mencuba komponen yang utama. Ducati memberi fokus kepada perincian kecil yang perlu diperbaiki pada masa depan.
"Semua yang saya uji, sasarannya ada di sana. Kami berterusan meningkatkan jentera kami. Kita tunggu dan lihat. Sabar. Dengan jentera saya sekarang, saya rasa ok.
"Kami mencuba beberapa perkara perincian yang kecil. Kita lihat sama ada kami akan menggunakannya pada perlumbaan seterusnya atau sama ada kami akan perlu menunggu..."
Selain terlepas kemenangan di Jerez, Marquez buat pertama kali musim ini terlepas untuk memulakan perlumbaan di petak utama yang diraih pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo.
Mengulas lanjut ujian di Jerez, Marcquez menjelaskan misi utamanya adalah untuk mengekalkan perasaan bersama jenteranya.
"Itu yang kami lakukan. Kami mencuba perkara yang kecil dengan pelarasan untuk perlumbaan berikutnya," kata Marquez.
"Ketika ini saya masih bergelut dengan perkara yang sama. Kelajuan ada, cuma saya perlu mengawal diri, dan tidak melakukan kesilapan. Ujian berlangsung bagus. Saya jelas dengan apa yang saya perlukan pada masa depan."
