JEREZ Destinasi Qabil Irfan Rangkul Podium Pertama Moto4 EC
Kejayaan Qabil Irfan yang beraksi bersama pasukan SIC GYRD Racing berusia 14 tahun hadir menerusi aksi yang cukup dramatik, apabila perlumbaan terpaksa dihentikan lebih awal oleh marshal akibat kemalangan membabitkan 4 pelumba ketika saingan berbaki 2 pusingan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/5/20261 min read


PELUMBA muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan melakar sensasi apabila berjaya merangkul podium pertamanya dalam kempen Piala Eropah Moto4 (Moto4 EC) 2026 selepas menamatkan Perlumbaan 2 di Litar Jerez, Sepanyol di tempat ketiga, hari ini.
Kejayaan manis pelumba pasukan SIC GYRD Racing berusia 14 tahun itu bagaimanapun hadir menerusi aksi yang cukup dramatik, apabila perlumbaan terpaksa dihentikan lebih awal oleh marshal akibat kemalangan membabitkan empat pelumba ketika saingan berbaki dua pusingan.
Sekalipun Qabil berjaya mengelak insiden itu dan berada di posisi kedua ketika perlumbaan dihentikan, keputusan muktamad berdasarkan kiraan semula pusingan terdahulu mengesahkan pelumba kelahiran Terengganu itu menduduki tempat ketiga.
Perlumbaan 2 itu dimenangi pelumba Colombia dari pasukan Honda AC Racing Team, Mateo Marulanda dengan catatan masa 12 minit 56.267 saat (s), manakala pelumba Sepanyol, Ignacio Galan (Frando Racing VHC Team) di tempat kedua.
Kejayaan mendaki podium itu melengkapkan kebangkitan luar biasa Qabil sepanjang hujung minggu di Jerez, khususnya selepas mempamerkan aksi mentaliti juara pada sesi kelayakan semalam.
Terdahulu, Qabil tampak sedikit bergelut pada sesi Latihan apabila sekadar mencatatkan masa ke-11 terpantas, sekali gus memaksanya beraksi dalam sesi Kelayakan 1 (Q1) buat kali pertama pada musim ini.
Begitupun, situasi itu langsung tidak mematahkan semangat juangnya apabila bangkit melakar masa terpantas di Q1 Kumpulan B menerusi catatan 1:49.638s untuk mara ke Q2.
Dia terus membuktikan kualitinya apabila mencatatkan masa 1:49.397s pada sesi Q2 yang juga catatan terpantas Kumpulan B sekali gus menempah petak mula kedua keseluruhan.
Pada Perlumbaan 1, Qabil sempat bersaing sengit di kelompok hadapan pada awal saingan namun kehilangan momentum di penghujung perlumbaan sebelum sekadar menamatkan aksi di tempat ke-7.
Tetapi tuah nyata menyebelahi Qabil pada Perlumbaan 2 apabila mentaliti pantang menyerahnya dibalas dengan trofi podium pertama di bumi Eropah musim ini.
Keputusan itu menyaksikan Qabil kekal menghuni tangga ke-6 carta kejuaraan pelumba keseluruhan dengan mengumpul 51 mata.

