'JIKA Kekal Di WorldSBK, BMW Pilihan Terbaik Berbanding Honda'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/21/20251 min read


PENGURUS Toprak Razgatlioglu yang juga pelumba legenda Turki, Kenan Sofuoglu menyuarakan pandangannya mengenai khabar angin yang menyatakan anak buahnya bersama pengeluar Jepun, Honda.
Penyandang juara dunia WorldSBK, Razgatlioglu ketika ini kuat dikaitkan dengan projek MotoGP bersama Honda tetapi menariknya, ia turut mempunyai kaitan dengan pembabitkan mereka di WorldSBK.
Ada laporan menyatakan jika Razgatlioglu berminat dengan projek berkenaan, ia turut menyaksikannya akan kekal di WorldSBK pada musim depan sebelum berhijrah ke MotoGP pada tahun berikutnya.
Pada musim 2027, MotoGP akan mengalami perubahan besar-besaran termasuk pelbagai peraturan baharu, enjin baharu bersesaran 850 cc dengan Pirelli akan menggantikan Michelin sebagai pembekal tayar rasmi.
Seperti diketahui, Razgatlioglu boleh dikatakan 'pakar' dengan tayar Pirelli di WorldSBK yang dilihat mampu menjadi kelebihan buatnya jika berpindah ke MotoGP pada 2027.
Tetapi menurut Sofuoglu, situasi tidak semudah itu.
"Jika kami terus berada dalam WorldSBK, saya rasa pilihan terbaik adalah kekal bersama BMW kerana projek mereka sangat kukuh dan berdaya saing," kata Sofuoglu kepada GPOne.
"Selain itu, mereka amat mempercayainya (Razgatlioglu) dan mereka gembira. Jika kami mahu, dia sebenarnya boleh meninggalkan BMW tahun lalu, tetapi akhirnya kami memutuskan untuk kekal dan menunaikan janji kami.
"BMW perlu bekerja keras untuk mengekalkan pelumba seperti Toprak, tetapi ia bukan hanya tentang wang. Itu bukan sebab utama dia memilih mereka, tetapi kerana projek mereka."
Kontrak Razgatlioglu bersama BMW Motorrad akan berakhir pada penghujung musim ini dan Sofuoglu terus menegaskan yang sasaran utama mereka adalah beraksi di MotoGP.
