JIKA Pecco Tak Menang, Saya Akan Menang - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/7/20241 min read

MARC Marquez terkenal sebagai pelumba yang menjadi tumpuan di dalam pasukan disertainya tetapi situasi itu dijangka tidak berlaku di Ducati Lenovo.

Bergandingan dengan juara dunia tiga kali dan menjulang Ducati dua gelaran dunia MotoGP berturut-turut serta berasal dari Itali, Francesco Bagnaia memang tampak memiliki status lebih istimewa di Ducati Lenovo berbanding Marquez.

Marquez sebelum ini pernah menyatakan rakan sepasukannya itu sebagai 'pelumba utama' tetapi dinafikan Pecco selepas itu.

Dan ketika ditemui baru-baru ini dalam majlis Ducati, pelumba kelahiran Sepanyol itu sekali lagi menyatakan pelumba yang menjadi rujukan utama di Ducati Lenovo adalah Pecco namun sasaran utama adalah merangkul kemenangan buat pasukan.

"Saya tiba di garaj yang memenangi banyak perlumbaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan saya tiba dengan rujukan yang jelas di dalamnya, iaitu Pecco, yang menang dua gelaran dunia dan bersaing untuk menjulang gelaran ketiga sehingga penamat," kata Marquez memetik laporan Motorsport.

"Kualiti dari sudut saya ada di sana, tetapi saya perlu mengadaptasi dengan pantas dengan pasukan ini.

"Jika Pecco tidak menang, saya akan menang. Jika saya tidak menang, Pecco menang. Itu adalah sasaran pasukan.

"Pada akhirnya, itulah yang Ducati mahukan. Salah seorang daripada pelumbanya menang.

"Apa yang penting pada penghujungnya adalah untuk membawa gelaran ke pasukan. Secara logiknya, seperti yang saya pernah cakapkan, rujukan pertama dalam garaj Ducati adalah Pecco, kerana dia sudah berada di sana selama bertahun-tahun dan memenangi banyak perlumbaan.

"Kami akan cuba memberikan 100 peratus, saya akan cuba untuk membiasakan diri dengan cara kerja pasukan 'kilang' dan kami akan cuba memberikan 100 peratus."