JOAN Mir Akui Honda RC213V 2024 Lagi Laju Dari Tahun Lalu, Tapi...
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/9/20242 min read
JOAN Mir memberi maklum balas yang boleh dikatakan 'melegakan' peminat MotoGP Honda dengan menyatakan jentera Honda RC213V 2024 yang diujinya di Sepang lebih laju berbanding tahun lalu.
Seperti diketahui, Honda bergelut pada empat musim sebelum ini yang menyaksikan pelumba bintangnya, Marc Marquez memilih untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini musim ini.
Dan ketika Marquez tampak selesa dengan jentera baharunya ketika ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Sepang yang berakhir, semalam, input yang diperoleh Mir untuk Honda juga boleh dikatakan cukup positif.
Mir ketika ujian semalam malakukan catatan ke-9 terpantas keseluruhan selepas melakukan 1 minit 57.374 saat (s) dan ia adalah yang terbaik dari pengeluar Jepun.
"Realitinya kami jauh lebih laju berbanding tahun lalu," kata Mir. "Kami perlu gembira kerana kami melakukan peningkatan. Tetapi pada masa sama, kami masih belum berada di tahap yang kami inginkan.
"Hari ini (semalam) saya melakukan 57.3 saat yang juga catatan sepusingan yang baik. Apabila saya cuba untuk melakukannya sekali lagi dengan tayar kedua, saya mengalami kemalangan pada selekoh terakhir apabila saya mahu memecut.
"Ada sesuatu di atas litar dan saya hilang cengkaman di bahagian depan. Jadi saya tidak mampu untuk melakukan catatan lagi dan mungkin saya boleh melakukan lebih baik. Apabila saya benar-benar berusaha catatan memang boleh dilakukan.
"Bukan setiap hari kamu boleh melakukan 57.3s. Ini adalah catatan sepusingan yang baik. Kami meningkat lebih banyak berbanding yang lain kerana kami lebih hampir."
Mengulas lanjut, Mir turut menyatakan yang RC213V 2024 bukan saja lebih laju, tetepi lebih baik termasuk di bahagian depan.
"Perasaan saya dengan bahagian depan lebih baik," kata Mir. "Ia hebat. Saya merasa terseksa apabila ia mula panas. Apabila permukaan litar tinggi kami tidak memiliki banyak cengkaman jadi kami perlu lebih banyak bergelut di bahagian depan.
"Tetapi suhu terus meningkat dan ia menjadi lebih sukar untuk memberhentikan jentera. Ia adalah titik di mana kamu sentiasa merasakan perbezaannya.
"Tetapi kami meningkat dan kami perlu menyatakan yang mereka melakukan kerja yang amat baik di Jepun. Saya menjangkakan sesuatu yang lebih baik di Qatar. Jika kami melakukan satu lagi langkah ke depan kami memang amat hampir," katanya.
Seperti diketahui, pelumba pasukan 'Factory' Ducati, Francesco Bagnaia melakukan 'magis' selepas merakam catatan rekod baharu di Sepang dengan 1:56.682s.