JOAN Mir Kekal Di Repsol Honda
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/26/20241 min read
REPSOL Honda berjaya menyakinkan pelumbanya, Joan Mir untuk menandatangani kontrak baharu bersama pasukan MotoGP itu yang menyaksikannya akan kekal sehingga 2026.
Mir dari Sepanyol yang juga juara dunia MotoGP pada musim 2020 menyertai Repsol Honda pada musim lalu berikutan penarikan diri Suzuki daripada perlumbaan elit berkenaan.
Begitupun, kempen pertamanya bersama Honda dan bergandingan dengan juara dunia lapan kali, Marc Marquez tidak berlangsung seperti diharapkan selepas dipalit pelbagai kemalangan.
Dan ditambah dengan pergelutan membabitkan prestasi jentera yang terjadi kepada Honda ketika ini, keputusan terbaik Mir pada musim ini hanyalah di kedudukan ke-12.
Situasi berkenaan menyaksikan perbincangan membabitkan lanjutan kontrak menjadi agak panjang sekalipun media sudah beberapa kali mendakwa Honda sudah pun bersetuju untuk melanjutkan kontrak Mir sebelum ini.
"Pertama sekali, saya amat gembira untuk dapat bersaing untuk Honda dan HRC untuk dua tahun lagi," kata Mir yang akan sekali lagi bergandingan bersama Luca Marini musim depan.
"Adalah sasaran saya untuk meneruskan kerjasama ini, dan pada kali ini saya berjaya mencapainya.
"HRC dan saya sudah bekerjasama sejak 2023, dan selagi kami meneruskannya, saya percaya terus memberikan pandangan saya kepada HRC, saya boleh memberi sumbangan untuk menambahbaik RC213V.
"Saya tahu apa yang saya perlu lakukan dan tahu apa yang Honda boleh capai, jadi harapnya kami bersama dapat mencapainya.
"Kami akan meneruskan kerja keras untuk masa depan dan juga bagi baki musim ini."
Sementara itu, Presiden Honda Racing Corporation (HRC), Koji Watanabe mengakui pihaknya gembira untuk bersaing bersama Mir disebalik tempoh sukar yang dihadapi pengeluar Jepun itu.
"Ini adalah musim yang sukar buat Honda dan HRC, sesuatu yang tidak pernah mereka alami sebelum ini," kata Watanabe.
"Di sebalik apa yang berlaku, Mir mempercayai pasukan, dan kami amat bersyukir atas sikapnya yang tidak pernah kenal erti mengalah dan sentiasa berjuang.
"Kami, bersama-sama dengan Mir, akan terus bekerjasama dengan pemegang taruh untuk membuat kebangkitan dan melakukan yang terbaik untuk menyamai jangkaan peminat kami secepat yang mungkin."