JOAN Mir Label Morbidelli 'Tak Bijak'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/27/20241 min read

PELUMBA Repsol Honda, Joan Mir melabel pelumba Pramac Ducati, Franco Morbidelli sebagai 'tidak bijak' susulan insiden membabitkan kedua-dua pelumba di pusingan pembukaan Grand Prix (GP) Portugal 2024.

Sekalipun Morbidelli memulakan perlumbaan di Portimao di petak ke-17, permulaan buruk menyaksikan pelumba Itali itu dipintas dan terpaksa bersaing dengan Mir yang memulakan aksi di petak ke-20.

Berikutan pergelutan itu, Morbidelli terbabit dengan pertembungan dengan Mir yang menyaksikan pelumba Honda itu jatuh ke kedudukan ke-21.

Dan sekalipun Mir berjaya bangkit untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12, yang turut dibantu kemalangan membabitkan Francesco Bagnaia, Marc Marquez dan isu dihadapi Maverick Vinales, tindakan Morbidelli dikatakan terlalu agresif untuk pelumba yang bersaing di posisi belakang.

"Pada pusingan pertama saya turut memotong tetapi tetap berada dalam posisi," kata Mir memetik laporan Motorsports. "Di posisi seperti itu kamu seharusnya lebih tenang pada pusingan pertama.

"Ini adalah realiti kerana ia adalah perlumbaan yang besar dan ada banyak pelumba di depan kamu dan kamu perlu menjadi bijak bukan? Morbidelli tidak.

"Dia terus menuju kepada saya. Dia melanggar saya pada kelajuan yang tinggi. Saya terkeluar daripada litar pada selekoh ke-8 dan perlumbaan saya sedikit terganggu kerana masalah ini."

Mir yang juga juara dunia MotoGP 2020 turut mendedahkan yang jenteranya mengalami kerosakan teruk susulan insiden dengan Morbidelli terutama membabitkan sistem brek dan kestabilan ketika mengambil selekoh.

"Bahagian belakang jentera, sayap belakang, semua perkara tidak lagi berfungsi," kata Mir. "Saya tidak merasai salah satu daripadanya. Juga di bahagian sayap depan kerana jentera bergegar dan bergerak dengan banyak.

"Ekzos juga sama (rosak). Saya banyak bergelut tanpa sayap, untuk menghentikan jentera pada selekoh 1 adalah satu cabaran, juga pada selekoh 5. Ia memalukan kerana di kelompok belakang tiada siapa merakamnya, ia terlalu jauh."

Bagi Morbidelli, prestasinya dengan rakan sepasukannya Jorge Martin bagaikan langit dan bumi selepas dia melepasi garisan penamat di kedudukan tercorot ketika Martin muncul juara.