JOAN Mir Masih 'Tak Gembira'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/23/20251 min read

HONDA meneruskan kebangkitan di MotoGP selepas mengharungi kempen yang mengujakan di Grand Prix (GP) Argentina 2025 tetapi ia masih tidak dapat 'menggembirakan' pelumba pasukan 'kilangnya', Joan Mir.

Di Termas de Rio Hondo, Honda meraih keputusan terbaiknya dalam kelayakan apabila pelumba LCR Honda, Johann Zarco memberikan posisi di barisan depan pertama buat pengeluar itu sejak Mugello 2023.

Zarco kemudian menamatkan Perlumbaan Sprint di tempat ke-4 dan GP di kedudukan ke-6 manakala dua lagi pelumba pasukan 'kilang' Honda HRC Castrol, Mir dan Luca Marini turut berada di kedudukan 10 terbaik.

Selepas menamatkan Perlumbaan Sprint di tempat ke-8 dan 9 pada perlumbaan utama, Mir berkata dia sebenarnya 'terdesak' pada aksi di Argentina disebabkan oleh kekurangan kuasa Honda RC213V.

Mir berkata dia hampir dipintas pelumba KTM, Pedro Acosta dengan kekurangan kuasa jenteranya memaksanya tayar depannya menjadi terlalu panas bagi mengembalikan defisit ketika laluan lurus.

"Sudah tentu saya melihat kami melakukan langkahan," kata Mir. "Apa yang saya cuba katakan adalah kami terdesak dalam perlumbaan kerana saya bertarung dengan pelumba-pelumba KTM sepanjang perlumbaan, dengan jentera yang mempunyai enjin yang lebih laju berbanding kami.

"Untuk mempertahankan kedudukan kami saya perlu melakukan banyak serangan ketika membrek.

"Saya membuatkan tayar depan terlalu panas dan sejujurnya ia adalah cabaran yang amat-amat besar untuk menamatkan perlumbaan.

"Tetapi kami tidak boleh berkata yang saya gembira, kerana saya tidak. Saya fikir jentera kami di sini mempunyai lebih potensi tetapi saya tidak dapat mempertahankannya daripada pelumba lain.

"Setiap kami saya tiba di laluan lurus pelumba yang berada di belakang memintas saya dan kemudian saya tidak boleh menyerang menggunakan brek, yang juga adalah kekuatan saya, atas disebabkan perkara ini, kerana tekanan, kerana tayar depan terlalu panas.

"Jadi kami perlu memahami apa yang kami boleh lakukan untuk meningkatkan situasi ini.

"Tetapi saya boleh melihat bagaimana pada tahun ini saya boleh bersaing dan ia sesuatu yang bagus, tetapi sebagai pelumba kamu sentiasa mahukan yang lebih lagi."

Apa yang menarik, Honda ketika ini menghuni tangga kedua kedudukan pengeluar buat pertama kali sejak GP Amerika Syarikat, lokasi kali terakhir pasukan itu meraih kemenangan pada 2023.