JOAN Mir Optimis Honda Mampu Kompetitif Di Argentina
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/12/20251 min read


JUARA dunia MotoGP 2020, Joan Mir percaya Honda mempunyai keupayaan untuk menampilkan prestasi yang cukup baik di Grand Prix (GP) Argentina.
Pusingan kedua MotoGP 2025 di Termas de Rio Hondo sememangnya diketahui antara 'gelanggang' kemenangan buat Honda terutama ketika bersama juara dunia lapan kali, Marc Marquez.
Begitupun, kali terakhir pengeluar Jepun itu menang adalah pada 2019 menerusi Marquez sebelum ia dibatalkan pada dua tahun berikutnya dengan dua edisi seterusnya menyaksikan Honda mula berdepan masalah.
Tahun lalu, GP Argentina dibatalkan susulan masalah dalaman negara berkenaan.
Justeru dengan sejarah yang baik, Mir berharap aksi di Argentina memberi peluang untuk Honda membuktikan potensi yang mereka tunjukkan ketika GP Thailand dua minggu lalu.
"Saya tidak sabar menantikan perlumbaan ini selepas apa yang kami tunjukkan di Thailand," kata Mir memetik laporan Crash.net.
"Kami berupaya untuk melakukan banyak perkara dan penting untuk mendapat beberapa mata dalam carta kejuaraan dan membuktikannya.
"Argentina akan menjadi minggu yang berbeza dengan Thailand kerana kami tiba di sana tanpa ujian tetapi kami kebiasaannya mempunyai asas yang kuat, saya fikir kami boleh kompetitif sejak mula.
"Sebelum ini saya memperoleh beberapa keputusan yang baik di Argentina, jadi saya fikir kami mempunyai ramuan untuk mendapatkan minggu yang baik dan meneruskan perkembangan kami pada musim ini."
Sebagai rekod, keputusan terbaik Mir di Argentina adalah kedudukan ke-4 pada 2022 ketika masih bersama Suzuki.
