JOAN Mir Ungguli Hari Ke-2 Ujian MotoGP 2026 Sepang, Jentera Yamaha Tak Keluar!
Hanya Joan Mir dan pelumba pasukan VR46 Ducati, Franco Morbidelli setakat ini yang berjaya memecahkan tembok catatan masa di bawah 1 minit 57 saat di Litar Antarabangsa Sepang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/4/20262 min read


JAGUH pasukan HRC, Joan Mir mencuri tumpuan pada hari kedua Ujian Rasmi MotoGP Sepang 2026 apabila mencatakan masa terpantas ketika kem Yamaha berdepan masalah teknikal yang menyaksikan jentera M1 'tersangkut' di garaj.
Berikutan hujan pada sesi kedua (petang), catatan yang dilakukan Mir pada sesi pagi tidak mampu dicabar oleh mana-mana pelumba sehingga tamat sesi.
Lebih menarik, hanya Mir bersama pelumba pasukan VR46 Ducati, Franco Morbidelli setakat ini yang berjaya memecahkan tembok catatan masa di bawah 1 minit 57 saat (1m 57s) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Keadaan litar yang basah menyebabkan catatan masa pada sesi kedua jauh ketinggalan berbanding sesi pagi tetapi situasi itu dimanfaatkan oleh pelumba seperti Diogo Moreira, Maverick Vinales dan Morbidelli untuk menguji jentera dalam keadaan litar basah.
Sementara itu, tumpuan turut terarah kepada ketiadaan langsung jentera Yamaha di litar sepanjang hari ini.
Selepas Fabio Quartararo disahkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan tangan sekali gus menyertai Jorge Martin dan Fermin Aldeguer yang turut cedera, pengeluar Jepun itu membuat keputusan drastik untuk menghentikan sementara aktiviti ujian.
Difahamkan, langkah itu diambil bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap isu teknikal yang dikesan pada enjin V4 baharu mereka.
Sementara itu, pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez yang mengungguli carta masa pada hari pertama semalam, sekadar mencatatkan masa ke-15 terbaik, hari ini.
Marquez yang kembali beraksi selepas menjalani pembedahan bahu pada Oktober lalu juga tidak melakukan 'time attack' pada sesi pagi dan lebih fokus kepada pelarasan jentera.
Ujian Rasmi MotoGP Sepang akan melabuhkan tirainya esok.
Selepas ini, kesemua pasukan akan terbang ke Buriram untuk ujian pra-musim terakhir pada 21 dan 22 Februari depan, yang juga merupakan lokasi bagi aksi pembuka tirai musim 2026.
Catatan hari kedua ujian rasmi pra-musim MotoGP 2026 Sepang
Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), 1:56.874s
Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), 1:56.983s
Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP26), 1:57.049s
Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), 1:57.116s
Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), 1:57.126s
Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP), 1:57.141s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP), 1:57.274s
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP26), 1:57.302s
Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP), 1:57.376s
Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), 1:57.550s
Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), 1:57.565s
Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP26), 1:57.664s
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), 1:57.753s
Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), 1:58.346s
Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP26), 1:58.386s
Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Test Rider (RS-GP), 1:58.566s
Diogo Moreira (BRA) Pro Honda LCR (RC213V)*, 1:58.571s

