JOHAN Zarco Sekat 'Langkah' Ducati, Julang Kemenangan Di Le Mans!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/11/20252 min read

JAGUH tuan rumah, Johann Zarco mencipta sensasi apabila menjuarai perlumbaan di laman sendiri Grand Prix (GP) Perancis 2025 di Le Mans yang dipenuhi pelbagai drama, hari ini.

Kemenangan pelumba pasukan satelit LCR Honda itu sekali gus menamatkan rentak kemenangan Ducati dan menghadiahkan Honda kemenangan pertama dalam tempoh lebih dua tahun.

Perlumbaan di Le Mans jelas sukar dijangka apabila hujan mula turun sebelum perlumbaan berlangsung yang menyaksikan kesemua pelumba masuk ke hentian pit untuk menukar tayar selepas pusingan pemanas badan.

Situasi itu menyaksikan perlumbaan terpaksa ditangguhkan. Dan apabila perlumbaan kembali dimulakan, permukaan litar dilihat mencukupi untuk beberapa pelumba untuk kembali menggunakan tayar kering termasuk pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez.

Tetapi menariknya, Zarco menjadi salah seorang pelumba kekal di grid menggunakan tayar hujan.

Dan selepas terselamat daripada kemalangan seawal selekoh ketiga pusingan pertama membabitkan Joan Mir dan Francesco Bagnaia, Zarco memilih untuk kekal dengan pemilihan tayarnya ketika beberapa pelumba memilih untuk menggunakan tayar kering.

Selepas berada di depan, Zarco tidak lagi menoleh ke belakang berikutan kelebihan besar dimilikinya sebelum melepasi garisan penamat bersejarah 19.9 saat (s) di depan Marquez sekali gus kemenangan ke-2 karier MotoGP buatnya selepas GP Australia pada 2023.

Kemenangan Zarco turut menamatkan deretan kemenangan Ducati sejak GP Sepanyol tahun lalu selain menamatkan deretan kemarau kemenangan Honda sejak 2023 di Austin, Amerika Syarikat menerusi Alex Rins juga dari LCR.

Sebagai rekod, kali terakhir pelumba Perancis menjuarai perlumbaan MotoGP di laman sendiri adalah pada 1954.

Dalam pada itu, Marquez menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu kepada 22 mata di depan adiknya, Alex Marquez yang terjatuh.

Turut berdepan nasib malang adalah seorang lagi pelumba tuan rumah, Fabio Quartararo dari Monster Yamaha yang memulakan perlumbaan di petak utama dan melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba 'Rookie', Fermin Aldeguer dari Gresini Ducati.

Seperti Marquez, Aldeguer turut menjadi antara pelumba yang terpaksa mengharungi dua penalti 'long lap' namun ia tidak menghalangnya daripada meraih podium pertamanya di perlumbaan Grand Prix selepas turut meraih keputusan sama pada Perlumbaan Sprint, semalam.

Sementara itu, pelumba terbaik KTM diperoleh Pedro Acosta dengan pelumba wildcard Honda, Takaaki Nakagami meraih tempat ke-6.

Raul Fernandez muncul pelumba terbaik Aprilia apabila pelumba Trackhouse Aprilia itu melepasi garisan penamat di tempat ke-7 diikuti Fabio Di Giannantonio (VR46) ke-8 dan pelumba ujian Aprilia, Lorenzo Savadori ke-9.

Pelumba terbaik Yamaha menjadi milik Alex Rins di tempat ke-12 dengan tiga lagi pelumba pengeluar itu menamatkan perlumbaan dengan status 'DNF' manakala Bagnaia melepasi garisan penamat di kedudukan ke-16.

Keputusan Perlumbaan Grand Prix Perancis 2025

  1. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), 45m 47.541s

  2. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), +19.907s

  3. Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24)*, +26.532s

  4. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +29.631s

  5. Maverick Vinales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +38.136s

  6. Takaaki Nakagami (JPN) Honda Test Rider (RC213V), +59.527s

  7. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +70.302s

  8. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +70.363s

  9. Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP25), +25.793s

  10. Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, +26.529s

  11. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +32.535s

  12. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +35.357s

  13. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +1 lap

  14. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), +1 lap

  15. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), +1 lap

  16. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +1 lap

Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24), DNF

Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), DNF

Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), DNF

Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), DNF

Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), DNF

Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), DNF