JOHANN Zarco Bermotivasi Tinggi Menuju Motegi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/2/20241 min read

MENAMATKAN kedua-dua perlumbaan di Grand Prix (GP) Indonesia 2024 di kelompok 10 terbaik jelas meningkatkan motivasi pelumba LCR Honda, Johann Zarco menuju aksi di laman sendiri GP Jepun minggu ini.

Selepas sentiasa bergelut dengan prestasi berikutan kemampuan terbatas Honda, pelumba kelahiran Perancis itu tampak mula melakar kebangkitan di Misano, Itali sebelum ia diteruskan di Mandalika.

Memperoleh kelayakan yang baik untuk memulakan aksi di petak ke-7, Zarco menamatkan Perlumbaan Sprint di tempat ke-8 sebelum meraih kedudukan ke-9 pada perlumbaan utama.

Mengakui litar Mandalika turut memainkan peranan terhadap prestasi berkenaan, Zarco turut memberi amaran yang isu membabitkan pecutan masih membelenggu Honda RC213V namun tetap teruja untuk melihat prestasi itu dibawa ke Motegi.

"Ayuh kita lihat apa yang akan berlaku di Motegi," kata Zarco yang menyertai HRC pada musim ini. "Jelas saya mempunyai motivasi dan keyakinan selain lebih gembira ketika ini untuk berlumba dengan jentera kami dan mengetahui yang di Motegi pecutan dan brek akan memainkan peranan penting.

"Jadi kita akan lihat jika kelemahan daripada sudut pecutan ini benar-benar akan mengacau kami di Motegi atau tidak.

"Di litar ini (Mandalika) jika kamu menganalisa susun atur litar ini, kamu hanya akan berdepan masalah ini (pecutan) di laluan lurus utama. Mungkin kerana itu, juga kerana fairing yang baharu, saya dapat kekal bersama pelumba lain dan melalukan catatan masa yang baik.

"Jadi kami akan lihat sama ada masalah pecutan ini akan mengakibatkan kami banyak kehilangan masa di Motegi," kata Zarco.

Selain Zarco, rakan sepasukannya Takaaki Nakagami turut memperoleh keputusan yang positif namun terpaksa merima hakikat menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 susulan penalti.

Begitupun kedua-dua pelumba pasukan 'kilang' Honda, Joan Mir dan Luca Marini tidak bertuah apabila terbabit dengan kemalangan.

Zarco ketika ini bergelar pelumba Honda terbaik dalam carta di kedudukan ke-17 dan memiliki kelebihan enam mata di depan Nakagami.