PELUMBA LCR Honda, Johann Zarco berkata dia menemui jalan penyelesaian terhadap 'masalahnya' di MotoGP musim lalu ketika mengharungi perlumbaan Suzuka 8 Hours.
Zarco menyertai Honda daripada Ducati dan seperti pelumba-pelumba pengeluar Jepun itu, dia bergelut untuk mengendalikan jentera RC213V.
Begitupun selepas pertengahan musim, pelumba kelahiran Perancis itu secara konsisten mengutip mata termasuk 9 pusingan terakhir berturut-turut dengan keputusan terbaik di tangga kelapan di GP Thailand.
Selain mengakui makin serasi dengan jenteranya, Zarco berkata dia juga mengubah pendekatan mindanya terutama selepas mengharungi perlumbaan Suzuka 8 Hours dan muncul pelumba terbaik Honda selepas kempen 2024 menutup tirainya.
"Bagus untuk dapat berevolusi, malah secara mental sepanjang tahun," kata Zarco dalam temuramah bersama Paddock-GP.
"Dan saya fikir ia berlaku selelas saya menguji jentera untuk Suzuka 8 Hours, di mana saya menyedari yang saya sebenarnya mempunyai komen dan masalah yang hampir sama di MotoGP.
"Jadi saya berkata kepada diri saya, jadi, apa juga masalah yang kamu ada di MotoGP, kamu juga mempunyainya di kepala kamu.
"Kamu tersekat dengan perasaan dan kepercayaan yang ia perlu dilupakan. Lihat kepada kepada subjek dengan berbeza.
"Apabila saya mula melakukannya, saya mula menunggang jentera MotoGP dengan lebih baik, dalam hadnya kerana kami masih terlalu jauh.
"Tetapi itulah yang membenarkan saya untuk melakukan perbezaan yang besar pada penghujung tahun berbanding pelumba-pelumba lain."
Zarco yang meraih kemenangan pertamanya di MotoGP bersama Pramac Ducati musim lalu menamatkan kempen 2024 di kedudukan ke-17 keseluruhan.
Dia turut menamatkan perlumbaan Suzuka 8 Hours untuk pasukan HRC bersama Takumi Takahashi dan Teppei Nagoe sebagai juara.