JOHANN Zarco Intai Gelaran Ketiga Suzuka 8 Hours!
Dengan hanya membariskan dua pelumba, pasukan Honda HRC berjaya menewaskan Yamaha Racing Team yang turut menampilkan pelumba MotoGP, Jack Miller dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan pasukan Yoshimura SERT Motul Suzuki di tempat ketiga
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/3/20251 min read


PELUMBA MotoGP Perancis, Johann Zarco menjulang gelaran kedua Suzuka 8 Hours selepas menjuarai edisi 2025 dengan gandingannya bersama pelumba Jepun, Takumi Takahashi turut menghadiahkan Honda gelaran ke-31 perlumbaan enduran berprestij itu.
Berlumba bersama Honda HRC, pasukan itu pada tahun ini hanya menampilkan dua pelumba iaitu Zarco dan Takahashi yang berlumba bergilir-gilir sepanjang 8 jam perlumbaan.
Begitupun, ia tidak menghalang mereka daripada menewaskan pasukan Yamaha Racing Team yang turut menampilkan pelumba MotoGP, Jack Miller dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan pasukan Yoshimura SERT Motul melengkapkan podium.
Sekalipun dicabar sengit Yamaha, Zarco dan Takahashi berjaya menewaskan Yamaha yang turut dibarisi pelumba WorldSBK, Andrea Locatelli dan Katsuyuki Nakasuga dengan kelebihan 34 saat.
"Berlumba dengan hanya dua pelumba, ia amat, amat sukar kerana ia amat panas, kamu banyak berpeluh dan tempoh untuk pemulihan juga singkat," kata Zarco.
"Kadang kala sukar untuk kembali ke atas jentera tetapi pada akhirnya, rentak kelajuan kami bagus. Kami memperoleh dua kereta keselamatan. Ia sentiasa mengubah sedikit permainan, tetapi kami dapat mengekalkan kelebihan.
"Terima kasih kepada Takumi kerana dia sentiasa melakukan tugasnya, setiap kali, dan ia menakjubkan. Dan saya juga cuba melakukan perkara yang sama dan saya berharap pada tahun depan kami akan bertiga kerana ia lebih baik."
Zarco dalam pada itu meluahkan hasratnya untuk kembali menyertai perlumbaan berkenaan pada tahun depan.
"Ia perlumbaan yang saya nikmati dan memiliki salah satu jentera terbaik, ia satu nikmat untuk menunggang. Ia minggu yang bagus untuk melakukannya. Kamu perlu mengawal tenaga kamu, tetapi bagi saya ia adalah cuti yang istimewa untuk datang ke Suzuka."
Takahashi yang muncul sebagai pelumba paling berjaya di Suzuka 8 Hours mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukannya.
"Keadaan seperti ini sukar untuk dipercayai. Suhu amat tinggi. Dan dengan dua pelumba, tempoh rehat hanya 40 minit. Saya mahu berterima kasih kepada Johann, dan semua orang. Itu saja."
