JOHANN Zarco Kekal Di LCR Honda Hingga 2027

Selepas hampir dua musim bersama Honda, Johann Zarco yang juga bekas rakan sepasukan Hafizh Syahrin di Tech3 Yamaha muncul sebagai pelumba terbaik Honda terbaik pada kempen 2024 dan juga ketika ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/1/20251 min read

TEKA-teki mengenai masa depan pelumba berpengalaman, Johann Zarco akhirnya terjawab selepas pelumba Perancis itu menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama pasukan satelit LCR Honda.

Perkembangan itu diperoleh sejurus pasukan 'kilang' pengeluar Jepun itu, Honda HRC Castrol melengkapkan barisan pelumbanya yang diisi Luca Marini dan Joan Mir.

Perjanjian baharu ini menyaksikan Zarco akan terus beraksi bersama pasukan pimpinan Lucio Cecchinello itu sehingga penghujung musim 2027.

Apa yang lebih penting, pelumba berpengalaman itu mengekalkan statusnya sebagai pelumba dengan kontrak 'kilang', yang bermakna dia akan terus menerima jentera dan sokongan teknikal terkini secara langsung daripada HRC.

Zarco menyertai LCR Honda pada awal musim 2024 selepas meninggalkan jentera Ducati.

Dan sekalipun berdepan cabaran dengan jentera Honda yang bergelut dengan prestasi, pelumba berusia 35 tahun itu berjaya membuktikan kemampuannya.

Selepas hampir dua musim bersama Honda, bekas rakan sepasukan Hafizh Syahrin di Tech3 Yamaha ini muncul sebagai pelumba terbaik Honda terbaik pada kempen 2024 dan juga ketika ini.

Dan kejayaan paling manis buat Zarco dan Honda hadir pada musim ini apabila dia menamatkan kemarau kemenangan pengeluar itu dengan meraih kemenangan gemilang di Grand Prix Perancis.

Kemenangan itu bukan sahaja menjadi sorotan utama kariernya bersama Honda, tetapi juga membuktikan potensi yang dimiliki Honda.

"Saya sangat gembira untuk mengesahkan bahawa saya akan kekal bersama LCR untuk dua tahun lagi. Ini penting kerana kami mempunyai matlamat besar untuk dicapai dan peluang hebat menjelang 2027," kata Zarco.

"Kami mencapai satu kemenangan bersama Lucio dan pasukan, dan adalah hebat untuk merasainya sekali lagi. Kami berazam untuk terus berusaha mendapatkan keputusan yang cemerlang," katanya.