JOHANN Zarco Ketuai Senarai Terus Ke Q2, Marc Marquez 'Sangkut'!
Pelumba LCR Honda, Johann Zarco, yang juga juara GP Perancis tahun lalu, mencatatkan masa terpantas pada lewat sesi dengan catatan masa 1 minit 29.907 saat (s) sekali gus mengetuai senarai 10 pelumba layak terus ke Q2
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/8/20261 min read


PELUMBA LCR Honda, Johann Zarco garang di laman sendiri apabila mencatatkan masa terpantas pada sesi Latihan Grand Prix (GP) Perancis 2026 di Le Mans ketika penyandang juara dunia, Marc Marquez terpaksa mengharungi kelayakan pertama (Q1).
Zarco, yang juga juara GP Perancis tahun lalu, mencatatkan masa terpantas pada lewat sesi dengan catatan masa 1 minit 29.907 saat (s) sekali gus mengetuai senarai 10 pelumba layak terus ke Q2.
Pelumba pasukan VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio turut cemerlang apabila melakukan catatan ke-2 terpantas dengan catatan ke-3 dilakukan rakan sepasukan Marc Marquez di Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia.
Kejayaan Zarco menggunguli sesi Latihan melengkapkan hari pembukaan yang positif buat kem Honda, selepas pelumba pasukan 'kilang' Honda HRC Luca Marini terlebih dahulu mencatatkan masa terpantas sesi Latihan Bebas 1 (FP1).
Sesi Latihan pada sebelah petang itu terbukti sangat sengit apabila kelompok 10 pelumba teratas hanya dipisahkan dengan perbezaan masa 0.289s, manakala kedudukan 19 teratas berada dalam jurang 0.816s.
Turut meraih tiket terus ke Q2 adalah Alex Marquez (Gresini Ducati), Joan Mir (Honda HRC), duo Aprilia Racing, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi, Alex Rins (Monster Yamaha), Ai Ogura (Trackhouse Aprilia) dan Pedro Acosta (Red Bull KTM).
Buat Marc Marquez yang turut menguji pakej aerodinamik spesifikasi 2025, dia terlepas tiket automatik ke Q2 dalam keadaan yang cukup mengecewakan.
Selepas melakukan kesilapan pada percubaan kedua terakhirnya, Marquez cuba bangkit pada pusingan terakhir untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 teratas tetapi disebabkan Bagnaia terjatuh di Selekoh 6 di hadapannya, ia memaksa bendera kuning dikibarkan sekali gus membatalkan usahanya.

