JOHANN Zarco Lagi Bermotivasi Jadi Pelumba Tertua Di MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/13/20241 min read

PENGUNDURAN Aleix Espargaro menyaksikan pelumba LCR Honda, Johann Zarco menjadi pelumba MotoGP tertua di grid MotoGP musim depan.

Dan buat pelumba kelahiran Perancis itu, situasi berkenaan memberikannya 'motivasi tambahan'.

Zarco memulakan kariernya di MotoGP pada 2017 bersama Tech3 Yamaha dan kini sudah menunggang bersama empat pengeluar berbeza di kejuaraan elit itu dan sudah pun menjangkau usia 27 tahun ketika memulakan debutnya di MotoGP di Qatar hampir lapan tahun lalu.

Di usia 34 tahun, Zarco mungkin tidak begitu tua tetapi jika dibandingkan dengan pelumba-pelumba 'Rookie' musim depan khususnya Fermin Aldeguer, jurangnya agak besar.

"Benar yang saya akan menjadi yang tertua, saya fikir yang seterusnya adalah Marc (Marquez)," kata Zarco kepada MotoGP.com.

"Perasaan ini bersama dengan semua muka baharu, mereka semua berada di usia 20 ke 22 tahun, bagi saya seperti memberikan motivasi tambahan untuk melakukan perkara dengan sebaik yang mungkin untuk merasa segar bersaing dengan mereka.

"Tetapi saya juga tahu yang pengalaman saya boleh menjadi sesuatu yang memberi manfaat kepada saya."

Selepas manandatangani kontrak bersama LCR Honda pada pertengahan musim 2023, peluang Zarco untuk meraih kemenangan pertamanya di MotoGP nampak sukar terutama dengan kemerosotan prestasi jentera RC213V.

Tetapi Zarco berjaya memperoleh kemenangan sulungnya apabila memacu jentera Pramac Ducati menjuarai perlumbaan Grand Prix Australia 2023.

"Ia mengambil masa yang amat lama, dari 2017 hingga 2013," kata Zarco. "Kita boleh berfikir yang ia mungkin tidak akan berlaku.

"Jadi apabila ia berlaku, kita boleh katakan ia adalah satu kelegaan daripada satu tekanan."