JOHANN Zarco Rangkul Kemenangan Sulung MotoGP Karier Takluk GP Australia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/21/20232 min read

JOHANN Zarco mengakhiri penantian penjang untuk bergelar juara perlumbaan MotoGP dan melakukannya dengan penuh bergaya di Grand Prix (GP) Australia yang tampil cukup mendebarkan di Phillip Island, sebentar tadi.

Kemenangan pelumba pasukan satelit Ducati, Pramac Ducati itu begitupun turut mengecewakan rakan sepasukannya, Jorge Martin yang hampir mendahului keseluruhan perlumbaan sebelum dipintas pada lapan selekoh terakhir.

Turut memintas Martin yang juga pencabar kejuaraan dunia MotoGP 2023 adalah Francesco Bagnaia dari pasukan 'Factory' Ducati, Ducati Lenovo dan pelumba Gresini Ducati, Fabio Di Giannantonio untuk melengkapkan kedudukan podium di Australia.

Martin yang melakukan 'perjudian' menggunakan tayar belakang jenis kompaun lembut turut dipintas Brad Binder untuk sekadar melepasi garisan penamat di tangga kelima.

Keputusan turut menyaksikan Ducati sekali lagi menguasai pentas podium namun dengan pasukan berbeza dengan Bagnaia turut menjarakkan kedudukannya selaku pendahulu kepada 27 mata di depan Martin.

Selain Zarco, turut mencipta sejarah adalah pelumba 'buangan' Gresini, Di Giannantonio kerana kejayaan podium di Phillip Island adalah yang pertama dalam kariernya di MotoGP.

Memulakan perlumbaan di petak utama, Martin jelas menggunakan kelebihannya (tayar jenis lembut) untuk mendahului perlumbaan dengan jarak agak jauh.

Begitupun, kelebihan itu hilang di penghujung perlumbaan dengan keempat-empat pelumba yang mengekorinya di belakang masing-masing menggunakan tayar belakang jenis 'medium'.

Ketika kemenangan jelas menggembirakan kem Ducati, pelumba terbaik pasukan yang menggunakan jentera 'Jepun' adalah Fabio Quartararo (Yamaha Monster) namun melepasi garisan penamat di kedudukan ke-14.

Pelumba terbaik Honda adalah juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez di kedudukan ke-15.

Sebagai info, perlumbaan utama MotoGP yang dijadual berlangsung pada Ahad terpaksa ditukar pada hari ini berikutan ramalan cuaca buruk di Phillip Island, esok.

Justeru, Perlumbaan Sprint yang sepatutnya berlangsung hari ini akan dijalankan pada Ahad.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Australia 2023

1. Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23), 40m 39.446s

2. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23), +0.201s

3. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22), +0.477s

4. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +0.816s

5. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23), +1.008s

6. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +8.827s

7. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +9.283s

8. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +9.387s

9. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP22), +9.696s

10. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP23), +12.523s

11. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +13.992s

12. Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +17.078s

13. Miguel Oliveira (POR) RNF Aprilia (RS-GP22), +19.443s

14. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +20.949s

15. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V), +21.118s

16. Raul Fernandez (SPA RNF Aprilia (RS-GP22), +32.538s

17. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1), +37.663s

18. Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16), +37.668s

19. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +37.758s

Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)*, DNF

Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF