JOM 'Pi' Jerai Scooter Day 2023, Himpunan Skuter Terbesar Utara 28 Okt Ini, Macam-Macam Ada!

TULAR

10/23/20232 min read

ACARA yang disifatkan perhimpunan skuter terbesar di Utara Tanah Air, Jerai Scooter Day 2023 yang dijadual pada 28 Oktober ini (Sabtu) dijangka berlangsung penuh meriah serta padat aktiviti menarik.

Pada awalnya dijadual diadakan di lokasi ikonik kaki Gunung Jerai, tetapi berikutan sambutan yang menggalakkan, lokasi acara itu diubah ke Dataran Perwaja, Gurun.

Menurut penganjur, perubahan itu terpaksa dibuat untuk memberi keselesaan kepada pengunjung selain meningkatkan tahap keselamatan.

Dan sekalipun lokasi acara diubah ke Dataran Perwaja, lokasi itu dengan Gunung Jerai boleh dikatakan tidaklah begitu jauh yang membenarkan mereka yang berhasrat mengunjungi gunung itu melakukan aktiviti tersebut.

Berdasarkan info daripada penganjur, majlis perasmian Jerai Scooter Day 2023 sah akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Dan turut menarik, pengunjung dan peserta yang layak menyertai cabutan bertuah akan berpeluang membawa pulang hadiah utama berupa skuter Yamaha Ego Gear. Selain hadiah utama, pelbagai lagi hadiah cabutan menarik turut disediakan oleh penganjur.

Kepada yang berminat untuk menyertai cabutan bertuah, mereka boleh membeli baju-T khas Jerai Scooter Day 2023 berharga RM 60. Selain peluang memenangi hadiah cabutan bertuah, setiap pembelian akan memperoleh stiker dan 'key chain' khas.

Seperti perhimpunan skuter/motosikal lain, antara aktiviti menarik yang berlangsung di Jerai Scooter Day 2023 adalah acara Motorshow.

Untuk acara Motorshow, ia membabitkan pertandingan skuter terbaik yang dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu:

  • Best Scooter Airbrush

  • Best Scooter Sticker

  • Best Scooter Modified

  • Best Scooter Thailook

  • Best Yamaha XMax

  • Best Yamaha NVX

  • Best Honda Forza

Selain Motorshow atau pameran skuter, turut berlangsung adalah jualan aksesori skuter/motosikal, pakaian serta pelbagai juadah makanan.

Menurut penganjur, dijangkakan lebih daripada 50 kelab skuter seluruh negara akan memeriahkan Jerai Scooter Day 2023 yang membabitkan hampir 3 ribu pemilik skuter pelbagai jenama.

Dianjurkan dengan galakan daripada pemilik skuter dari seluruh negara, antara objektif penganjuran Jerai Scooter Day 2023 adalah untuk memupuk ukhuwah dan silaturahim antara pemilik skuter pelbagai jenama, bertukar pendapat serta menaikkan imej dan kreativiti keseniaan pemilik skuter di Malaysia.

Sebagai info, Jerai Scooter Day 2023 dianjurkan oleh YHS Autopart dan 69 Garage.

Antara penaja Jerai Scooter Day adalah seperti Masviral, Taikom, minyak pelincir Estremo, Scootigan, Hypertech, VRX, CJ Ipoh Bike, Honda Impian X, Recool, Fang Sheng dan banyak lagi.