JOM Serbu Layan 'Scooter Members 2024' Kemaman 26-28 April Ini, Peluang Bawa Balik Skuter Zontes 350!

TERKINI

2/28/20242 min read

KEPADA 'kaki skuter' tanah air, acara 'Scooter Members 2024' yang dijadual berlangsung di Kemaman, Terengganu selama tiga hari bermula 26 hingga 28 April depan harus berada dalam senarai 'mesti pergi' buat anda.

Apa yang uniknya, tidak seperti acara-acara membabitkan automotif atau permotoran lain, penganjur turut mengadakan Pameran Masakan yang dijangka berupaya menjadi nilai tambah kepada Scooter Members 2024.

Lebih menarik, selain dihidangkan dengan pelbagai aktiviti seperti pameran dan sebagainya (skuter/masakan), pengunjung turut berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah yang cukup mengujakan.

Dan hadiah yang ditawarkan untuk acara yang dianjurkan oleh HAYR NZ Enterprise dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Honda Vario Owner Club Kemaman (HAVOCK) ini memang cukup menarik terutama hadiah utama iaitu sebuah skuter Zontes 350.

Tetapi untuk berpeluang membawa pulang skuter mewah berkenaan, pengunjung perlu membeli tiket 'murah' berharga RM 5.

Selain skuter Zontes 350, antara hadiah menarik lain dalam cabutan bertuah adalah skuter Modenas Karisma, 10 buah topi keledar berjenama, barangan elektrik dan hadiah saguhati berupa hamper.

Turut dijangka hadir bagi merasmikan Scooter Members 2024 nanti adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

Menurut wakil MPK, Mazlan Jusoh, pihaknya berharap penganjuran Scooter Members 2024 akan meningkatkan nama Kemaman sebagai antara destinasi permotoran utama di negara ini.

Sementara itu, Muhammad Najmuddin Md Hamran dari HAYR NZ selaku penganjur berkata pihaknya berharap Scooter Members bakal menjadi salah satu acara terpenting dalam kalendar perlancongan negeri pada masa akan datang.

Dan pihaknya serta HVOCK turut berharap acara berkenaan akan berada dalam kalendar tahunan sektor pelancongan negeri selepas ini.

Mengulas lanjut, Najmuddin berkata Kemaman juga terkenal sebagai destinasi pelancongan yang tidak kurang menarik di negeri ini termasuk keenakan masakannya.

“Tidak sah sekiranya anda singgah di Kemaman dan tidak berjalan di sekitar Kemaman. Sebagai sebuah bandar yang sarat dengan pengunjung yang bercuti dan merancang menginap di sini, Kemaman tak lekang dengan tempat-tempat menarik malah tempat penginapan juga cukup ekonomi dan jauh lebih selesa di sini,” kata Najmi.

Selain pantai yang menarik, antara destinasi pelancong menarik di Kemaman adalah seperti Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, Tasik Biru Kemaman, Pusat Penerangan dan Santuari Penyu, Pantai,Teluk Kalong, Muzium Kemaman, Pasar Besar Kemaman, menyusuri Sungai Yah Yah untuk menikmati kelip-kelip, pasar Binjai, Warung Aziz Sattar, Pantai Kemasik dan banyak lagi.

Menurut penganjur, dijangkakan lebih enam ribu pemilik dan peminat motosikal khususnya skuter akan memeriahkan Scooter Members 2024 nanti.