JONATHAN Rea Dah Sedia Nak Gantung Sut Lumba Bila...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/13/20251 min read

JUARA dunia enam kali WorldSBK, Jonathan Rea mengakui tidak mahu menamatkan karier gemilangnya di pentas kejuaraan elit itu ketika berada di tahap terendahnya.

Begitupun pelumba kelahiran Britain itu tetap bersedia untuk menggantung sut lumbanya jika 'pilihan' yang ada untuk meneruskan kariernya di kejuaraan itu pada musim depan tidak sesuai dengannya.

Bekas pelumba Kawasaki Racing Team itu tidak mengharungi kemarau panjang kemenangan selepas kali terakhir merasainya pada Perlumbaan 1 di Most pada 2023. Dan keputusan terbaiknya bersama Yamaha adalah podium, keputusan yang dicapai pada awal tahun lalu.

Pada awal musim ini, Rea berdepan kemalangan teruk ketika ujian di Australia yang menyaksikannya berdepan kecederaan kaki yang serius termasuk beberapa tulang patah dan terlepas beberapa pusingan perlumbaan.

Kembali berlumba ketika pusingan di Itali pada awal Mei lalu, Rea berjaya mengutip mata kejuaraan pertamanya di Most.

Sebagai pelumba yang memiliki rekod 119 kemenangan di WorldSBK, pelumba berusia 38 tahun itu menegaskan projek yang tidak kompetitif tidak membuatkannya tertarik untuk terus berlumba sekali pun ia bermakna dia terpaksa bersara di tahap terendah dalam kariernya.

"Saya tidak mahu menamatkan karier saya dengan tahap yang rendah," kata Rea kepada Speedweek. "Saya mahu menjadi kompetitif. Tetapi saya masih belum tahu pilihan yang saya ada.

"Ideanya adalah saya akan membuat keputusan selepas Donington. Jika tiada apa-apa yang mengujakan datang, saya sedia untuk kekal di rumah.

"Tetapi sebelum itu saya mahu tahu sendiri betapa kompetitif saya dengan jentera ini dan krew saya. Bagi saya, ia adalah kerja yang belum selesai.

"Jalannya boleh pergi ke mana saja arah. Pertamanya saya perlu mendapati sama aada saya berminat untuk meneruskan seperti saya lakukan sekarang. Dan Yamaha perlu mengetahui jika mereka mahu mengekalkan saya bersama mereka."