JONATHAN Rea Sah Tersisih WSBK Di Cremona
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/17/20241 min read


JUARA dunia WorldSBK enam kali, Jonathan Rea diketepikan daripada berlumba di Pusingan 9 WSBK 2024 di Cremona, Itali hujung minggu ini selepas masih bergelut dengan masalah kecederaan.
Pelumba Yamaha, Rea mengalami kemalangan pada pusingan pertama Perlumbaan 1 di Magny-Cours, Perancis yang menyaksikannya patah tulang ibu jari kanan.
Kecederaan yang dihadapinya memerlukan pembedahan pakar pada hari sama yang turut menyisihkannya daripada keseluruhan minggu di Perancis.
Selain Rea, turut mengalami kemalangan di litar berkenaan adalah juara dunia WorldSBK 2021, Toprak Razgatlioglu dan penyandang juara, Alvaro Bautista.
"Berpandukan kepada nasihat perubatan terkini, kedua-duanya daripada pembedahannya di Perancis dan pasukan perubatan di Ireland Utara, Jonathan Rea akan terlepas pusingan di Itali untuk membenarkan penyembuhan di bahagian kulit dan bahagian dalam ibu jari kanannya untuk pulih sepenuhnya," kata pasukannya, Pata Yamaha.
Selepas Cremona, kempen WSBK dijadual bersambung pada minggu berikutnya di Aragon, Sepanyol (27-29 September) dan pasukannya berharap pelumba itu mampu untuk beraksi di sana.
Tempat Rea di Cremona akan digantikan oleh pelumba ujian rasmi Yamaha WorldSBK, Niccolo Canepa.
Canepa dari Itali sebelum ini mengumumkan persaraannya daripada arena perlumbaan minggu lalu.
"Berita ini datang dengan agak mengejut sejak saya mengumumkan persaraan saya beberapa minggu lalu," kata Canepa. "Tetapi sejujurnya, saya amat berbangga untuk mengharungi satu lagi minggu perlumbaan, terutama dengan pasukan ini Pata Prometeon Yamaha, Crescent dan jentera rasmi Yamaha T1 WorldSBK bersama krewnya.
"Saya benar-benar sedih atas apa yang berlaku kepada Jonathan dan berharap dia dapat sembuh dengan pantas."
