JONATHAN Rea Sertai Honda?

Juara dunia enam kali WorldSBK, Jonathan Rea dikhabarkan dalam perbincangan untuk menyertai pasukan Honda selepas mengharungi kempen mengecewakan bersama Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/22/20251 min read

Jonathan Rea
Jonathan Rea

HONDA dan Jonathan Rea dikhabarkan sedang mengadakan perbincangan membabitkan masa depan juara dunia enam kali WorldSBK itu bagi kempen Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2026.

Selepas meninggalkan Kawasaki untuk menyertai Yamaha pada musim 2024, Rea gagal mencetus impak yang diharapkan malah hanya meraih satu podium sepanjang satu setengah musim bersama pengeluar Jepun itu.

Malah rakan sepasukannya yang memiliki kurang berpengalaman, Andrea Locatelli sudah pun meraih satu kemenangan dan tujuh podium dalam tempoh yang sama dengan beberapa siri kecederaan dilihat merencatkan perjalanan pelumba kelahiran UK itu.

Dengan kontraknya dijadual berakhir pada penghujung musim ini, spekulasi mulai memuncak yang menyatakan dia akan meninggalkan Yamaha dan salah satu pasukan yang dikaitkan dengan pelumba berusia 38 tahun itu adalah bekas pasukannya Honda.

Sekali pun ia masih sekadar khabar angin, pengulas WSBK, Steve English percaya Rea masih belum bersedia untuk menggantung sut lumbanya dengan menyatakan Honda dan Barni Ducati sebagai pasukan berpotensi untuknya bagi kempen 2026.

“Rea, dan (Alvaro) Bautista, adalah dua pelumba yang perlu diperhatikan dalam tempoh beberapa minggu ini," kata English dalam kolumnya di laman web WSBK.

"Adakah kamu ingin mendapatkan pelumba-pelumba terbaik WorldSBK yang tersedia? Jika ya, kamu perlu melihat kepada juara dunia ini. Reputasi mereka mengalami kerosakan sejak dua tahun lalu, tetapi jika kami mendapatkan mereka dengan murah dan membayar mereka dengan bonus yang besar, apakah risikonya?

"Rea masih bermotivasi tinggi dan bersedia untuk keluar daripada tempoh yang sukar. Jika BMW berhasrat mencipta impak melalui pemilihan pelumba, mungkin dengan membawa masuk Danilo Petrucci, maka Rea pasti akan cuba mengambil kesempatan untuk menyertai pasukan Barni.

"Pasukan persendirian Ducati sudah tentu menjadi sasaran utama buatnya. Di Donington Park, jelas kelihatan yang Rea turut mengadakan beberapa perbincangan dengan Honda. Dia mempunyai pilihan, tetapi adakah ia cukup baik?"

Rea mendominasi kancah WorldSBK bersama Kawasaki di antara tahun 2015 sehingga 2020 dan memenangi enam gelaran dunia berturut-turut sekali gus meletakkan namanya antara legenda di kejuaraan itu.

Tetapi sebelum menyertai Kawasaki, Rea menghabiskan enam musim dalam kariernya bersama Honda menerusi pasukan Ten Kate. Bersama pasukan itu, dia berjaya memenangi 15 perlumbaan dengan kedudukan terbaiknya dalam carta adalah ke-4 pada musim 2010.