JONATHAN Rea Tabik Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/17/20241 min read
JUARA dunia WorldSBK enam kali, Jonathan Rea melabel pemenang 'treble' di Donington Park minggu lalu, Toprak Razgatlioglu sebagai pelumba yang menjadi penanda aras di kejuaraan itu ketika ini.
Pelumba BMW Motorrad, Razgatlioglu mencipta magis di Donington Park, minggu lalu yang meneruskan deretan kemenangannya kepada tujuh berturut-turut mengikuti kejayaan hatrik di Misano selain Assen.
Menjadi pelumba yang menggantikan Razgatlioglu di Yamaha musim ini, situasi yang melanda Rea yang juga bekas pelumba Kawasaki tampak cukup berbeza bersama pengeluar Jepun itu.
Selepas lima pusingan, Rea hanya berjaya menamatkan kemarau podiumnya musim ini pada minggu lalu pada Perlumbaan Superpole dengan Razgatlioglu ketika siaran langsung dirakam berkata 'rindu' kehadiran pelumba United Kingdom itu di podium.
"Ada beberapa orang yang kami lihat sebagai bakat istimewa. Kamu dapat melihatnya sekitar paddock, ada begitu ramai pelumba berbakat dan mereka memperoleh peluang, tetapi mereka juga terjatuh dan tidak dapat memanfaatkannya.
"Toprak ketika ini melakukan yang terbaik dengan peluang yang dimilikinya. Pelumba yang berbakat super dan bagus untuk melihat seorang pelumba berlumba seperti itu, dan ia turut 'menyakitkan' untuk bersaing dengannya.
"Ia kelihatan seperti dia melakukannya dengan amat mudah. Orang boleh berfikir ia nampak mudah ia jauh berbeza, saya boleh memberikan jaminan kepada kamu.
"Toprak kini adalah tanda aras dalam WorldSBK."
Sekalipun menjadi pelumba yang menamatkan deretan kejuaraan dunianya di pentas WorldSBK pada 2021, Rea mengakui bangga dengan kejayaan diperoleh pelumba kelahiran Turki itu.
"Saya langsung tak boleh menerima sebarang pujian atas kejayaan Toprak, tetapi apabila dia menyertai kejuaraan bersama keluarga Kawasaki di Puccetti dalam kelas Superstock, saya adalah peminatnya. Dia seperti rakan sepasukan.
"Banyak kali kami makan bersama, malah ada ketikanya kami bermusuhan. Dia lelaki yang baik, pelumba yang keras, saya sentiasa menikmati pertarungan dengan Toprak.
"Bagus untuk melihat dia meraih kejayaan yang dia sememangnya layak. Saya tidak menjangkakan yang dia akan begitu dominan pada tahun ini. Dalam kelas yang penuh dengan pelumba-pelumba laju, dia jelas paling menonjol."