JORGE Lorenzo Dakwa Nampak Bayangan Dirinya Pada Marc Marquez

Marc Marquez yang sebelum ini terkenal dengan gaya agresif, berani mengambil risiko dan sering menguji had jentera tetapi sejak mengalami kecederaan serius pada lengan pada 2020, bintang Sepanyol itu mengubah pendekatan dengan lebih 'tenang, tepat dan teratur'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/16/20261 min read

PERUBAHAN gaya tunggangan pelumba bintang Ducati Lenovo, Marc Marquez mendapat perhatian legenda MotoGP, Jorge Lorenzo malah menyifatkan juara dunia sembilan kali itu 'hampir kelihatan seperti saya' ketika beraksi di atas trek.

Marquez yang sebelum ini terkenal dengan gaya agresif, berani mengambil risiko dan sering menguji had jentera tetapi sejak mengalami kecederaan serius pada lengan pada 2020, bintang Sepanyol itu mengubah pendekatan dengan lebih 'tenang, tepat dan teratur'.

Lorenzo, yang pernah bergelar juara dunia tiga kali antara 2010 hingga 2015, dikenali dengan gaya ultra-halus dan konsisten.

Ketika ditemui ketika ujian pramusim MotoGP di Sepang, Lorenzo memetik laporan Crash mengakui kagum melihat bagaimana Marquez kini lebih 'berhati-hati dalam setiap pergerakan' dan tidak lagi kerap melakukan kesilapan ketika membrek atau keluar selekoh.

Katanya, perubahan itu menunjukkan Marquez berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan semasa, berbeza dengan gaya berani dan penuh risiko ketika mula menjejakkan kaki ke MotoGP.

“Apa yang paling mengagumkan saya tentang Marc ialah bagaimana dia berjaya ‘menjadi versi baharu dirinya’, dia sudah mengubah sepenuhnya gaya tunggangannya,” kata Lorenzo kepada laman rasmi MotoGP ketika ujian di Sepang.

“Hari ini, apabila anda melihat Marc, dia hampir kelihatan seperti saya, sangat lancar, tidak melakukan kesilapan ketika membrek, tidak pernah terbabas, sangat tepat dan sangat ‘fluid’ ketika meluruskan jentera.

“Ketika dia mula-mula tiba di MotoGP, dia sangat berbeza. Dia mencatat masa dan mencapai kelajuan hanya berdasarkan bakatnya, kerana dia berani dan mengambil banyak risiko.

“Tetapi sekarang, setiap perkara yang dia lakukan, semuanya sangat dikira, sangat berhati-hati. Dia sudah banyak berubah berbanding 10 tahun lalu.”

Hubungan Lorenzo dan Marquez bukan asing bagi peminat MotoGP dengan kdua-duanya pernah bersaing sengit, termasuk perebutan gelaran dunia 2013 yang dimenangi Marquez.

Perseteruan itu berlanjutan sehingga Lorenzo meraih gelaran ketiganya pada 2015, sebelum mereka bergelar rakan sepasukan di Honda pada 2019.

Walaupun Lorenzo akhirnya bersara pada penghujung musim itu, dia kekal aktif dalam dunia MotoGP sebagai penganalisis dan kini bakal kembali dengan peranan baharu sebagai jurulatih prestasi Maverick Vinales.