JORGE Lorenzo Dakwa Pecco 'Cuak' Dengan Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/10/20241 min read

JORGE Lorenzo mengakui terkejut dengan tindakan Jorge Martin menyertai Aprilia dan mendakwa kehadiran Marc Marquez di Ducati Lenovo lebih mencipta rasa gerun buat Francesco Bagnaia.

Lorenzo yang juga juara dunia MotoGP tiga kali menyuarakan pandangannya itu dalam satu rancangan bersama penyiar DANZ, memetik laporan GPOne.

Ketika ditanya mengenai keputusan Ducati Corse memilih Marquez, Lorenzo berkata dia yakin yang Pecco enggan suasana di paddock Ducati Lenovo berubah.

Pecco sebelum ini pernah memberi jawapan dia mahu Enea Bastianini kekal sebagai rakan sepasukannya selepas musim 2024 berakhir berbanding dua lagi pencabar ketika itu, Marquez dan Martin.

"Dia (Pecco) tidak mahu pelumba seperti Marc, dia tidak mahu pelumba yang laju yang mampu mengalahkannya," kata Lorenzo. "Ini tidak bermakna yang (Enea) Bastianini tidak mampu melakukannya.

"Tetapi dari sudut sensasi, Marc Marquez lebih menakutkannya ketika ini."

Mengulas lanjut, Lorenzo mengakui dia faham mengapa Marquez tidak mahu menyertai Pramac Ducati sekalipun diberikan jentera spesfikasi terkini.

"Marc kini berusia 32 tahun dan dia pernah menghadapi kecederaan yang serius. Dia sudah mencapai tahap maksimumnya dan dia ketika ini bergantung kepada perkara itu ketika pencabarnya yang lebih muda boleh meningkat," kata Lorenzo.

"Ini satu-satunya perkara yang sedang melawannya. Dan ini membuatkan ia agak seimbang ketika ini.

"Jika kita membandingkan Pecco pada 2019 dengan Marquez pada 2019, jelas yang Marquez tiga langkah ke depan berbandingnya. Kini, dengan jentera yang sama, tidak dapat dipastikan yang Marc akan mampu menewaskannya dalam setiap perlumbaan."