JORGE Lorenzo Dedah Rahsia 'Kunci' Julang Gelaran Dunia MotoGP 2015

Ironinya, rahsia itu didedahkan Jorge Lorenzo selepas 10 tahun ia berlalu ketika kempen MotoGP 2015 dianggap antara musim paling kontroversi dalam kejuaraan berkenaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/27/20251 min read

LEGENDA MotoGP Sepanyol yang memiliki 3 gelaran dunia MotoGP, Jorge Lorenzo akhirnya mendedahkan rahsia yang didakwa memberinya kelebihan untuk menewaskan rakan sepasukannya di Yamaha MotoGP dan seteru utama, Valentino Rossi, dalam perebutan gelaran dunia MotoGP musim 2015.

Dan ironinya, rahsia itu didedahkan selepas 10 tahun ia berlalu dengan kempen 2015 dianggap antara musim paling kontroversi dalam kejuaraan berkenaan.

Pada musim berkenaan, kejuaraan terpaksa ditentukan pada pusingan terakhir di Valencia. Sekali pun memiliki kelebihan dari sudut mata menuju Valencia, Rossi akhirnya tewas susulan kontroversi yang tercetus di GP Malaysia yang turut membabitkan Marc Marquez.

Memetik media Itali, Moto.it, Lorenzo mengakui dia memasang sebuah mesin sauna 'cryosauna' di dalam motorhome miliknya, langkah yang dirahsiakan sepenuhnya daripada pengetahuan Rossi untuk memberikannya kelebihan.

Kata Lorenzo, dia sanggup melabur besar untuk sukan yang diceburinya itu dan Motorhome miliknya yang direka khas bagi membolehkannya memiliki cryosauna.

Katanya selepas setiap sesi, dia akan masuk ke mesin itu selama tiga minit pada suhu -180°C untuk pemulihan.

Lorenzo menjelaskan, usaha itu bukan sekadar membabitkan peralatan canggih, malah pembekalan hidrogen untuk cryosauna turut menuntut pengorbanan besar.

Malah, pembantu peribadinya terpaksa memandu sehingga 100 kilometer dari litar untuk mendapatkan bekalan, sebelum dipasang secara tersembunyi agar tidak dapat dikesan sesiapa, termasuk kru Rossi.

Seperti diketahui, Lorenzo sudah pun 'kembali' ke MotoGP apabila bergelar jurulatih kepada pelumba Tech3 KTM, Maverick Vinales.