JORGE Lorenzo Label Prestasi Yamaha, Honda Mengecewakan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/15/20241 min read

JORGE Lorenzo, juara dunia tiga kali MotoGP tidak mampu menghalang dirinya daripada mengkritik prestasi dua pengeluar Jepun - Yamaha dan Honda yang disifatkan sebagai mengecewakan di Qatar.

Pada aksi pembuka tirai MotoGP 2024 di Losail, juara dunia 2021 Fabio Quartararo muncul pelumba terbaik Yamaha selepas menamatkan perlumbaan di tangga ke-11.

Dan Honda lebih mengejutkan apabila pelumba pasukan satelit, LCR Honda, Johann Zarco menjadi pelumba terbaik pengeluar itu selepas melepasi garisan penamat di kedudukan ke-12.

Menjulang ketiga-tiga gelaran dunia MotoGP bersama Yamaha dan turut pernah beraksi bersama Honda, pelumba kelahiran Sepanyol itu menyatakan jurang kedua-dua pengeluar itu dengan pengeluar Eropah sebagai jauh.

"Pengeluar Jepun tampil mengecewakan di Qatar," kata Lorenzo memetik laporan Mundo Deportivo. "Honda dan Yamaha terlalu jauh. Dan debut Luca Marini dengan Repsol Honda agak teruk."

Mengulas lanjut, Lorenzo percaya kedua-dua pengeluar gergasi Jepun itu enggan untuk menunggu lama untuk kembali mendapatkan prestasi yang diharapkan.

"Setiap tahun, pengeluar-pengeluar mengeluarkan duit yang banyak dan tiada siapa mahukan pembaziran. Tiada siapa tidak gemar dengan keputusan yang baik.

"Mereka harus cuba untuk menjadi kompetitif secepat yang mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Lorenzo turut gembira dengan perubahan yang dilakukan oleh MotoGP terutama dengan pengenalan Perlumbaan Sprint pada Sabtu di setiap pusingan.

"Mereka melakukan kerja yang baik untuk menjadikan perlumbaan lebih kompetitif setiap tahun," kata Lorenzo. "Dengan elektronik dan unit kawalan tunggal, tiada pasukan memiliki kelebihan berbanding pasukan lain ketika ini.

"Mereka juga menawarkan konsesi kepada sesetangah pengeluar dan penggunaan tayar juga unik. Pengenalam Perlumbaan Sprint juga adalah salah satu kejayaan, dan orang ramai dapatn menikmati satu lagi perlumbaan."