JORGE Lorenzo Percaya Kecederaan Lama Masih 'Hantui' Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/24/20241 min read

MARC Marquez disahkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan teruk yang dihadapinya pada 2020 namun bagi juara dunia tiga kali MotoGP, Jorge Lorenzo, impak kecederaan itu masih membelenggunya.

Juara dunia MotoGP enam kali mengalami kecederaan serius pada lengan kanannya pada perlumbaan pembuka tirai musim 2020 yang memaksanya tersisih sepanjang musim.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu mengharungi empat pembedahan utama bagi memulihkan kecederaan itu di antara tahun 2020 dan 2022 dan sudah disahkah pulih sepenuhnya.

Tetapi bagi Lorenzo, yang juga rakan sepasukan Marquez di Repsol Honda pada musim 2019 percaya kecederaan itu masih menjejaskan prestasi pelumba itu dengan buktinya dia masih belum merangkul kemenangan bersama Gresini Ducati.

Begitupun daripada pemerhatiannya, Lorenzo percaya dan yakin rakan senegaranya itu masih berpeluang untuk bukan mampu meraih kemenangan, namun menambah gelaran dunianya.

"Kecederaan di Jerez pada 2020 saya fikir membebankannya dari sudut fizikal," kata Lorenzo kepada DAZN, syarikat yang menggajinya sebagai pengulas.

"Kita sudah banyak kali melihat juara-juara yang hebat, Mick Doohan sebagai contoh, memenangi empat gelaran dunia secara praktikalnya hanya dengan satu setengah kaki.

"Saya fikir kita masih belum melihat gelaran terakhir Marc Marquez, kemungkinan, tetapi bukan mudah untuk dia menjulang kejuaraan sekali lagi, kerana dia berdepan dengan dua pelumba muda (di depannya).

"Kini Jorge Martin pergi ke Aprilia, tetapi dia masih perlu berdepan Pecco Bagnaia, yang lebih muda daripadanya, amat laju dan hampir sempurna."

Lorenzo turut memberi contoh bagaimana kecederaan itu masih 'menghantui' Marquez.

"Di beberapa tempat membrek kamu dapat melihat yang kecederaan itu memberikannya kesukaran," kata Lorenzo. "Semua itu dan ditambah dengan juara seperti Marc Marquez, dengan sepatutnya jentera terbaik, sekalipun bukan yang terbaharu, masih belum meraih kemenangan.

"Mungkin dia boleh meraih kemenangan dengan jentera 2024? Adakah ada kemungkinan dia boleh memimpin carta kejuaraan? Saya tidak tahu."