JORGE Lorenzo Pilih Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/14/20241 min read

JORGE Lorenzo meletakkan pelumba senegaranya, Jorge Martin sebagai pilihan utama dalam pemburuan kejuaraan MotoGP musim ini berbanding penyandang juara, Francesco Bagnaia.

Pelumba Pramac Ducati, Martin ketika ini memiliki kelebihan 24 mata berbanding satu-satunya pencabarnya, Bagnaia daripada Ducati Lenovo menuju perlumbaan penutup tirai MotoGP 2024 di Barcelona, minggu ini.

Kelebihan itu menyaksikan Martin tidak perlu menunggu sehingga perlumbaan utama untuk mengesahkan kemenangan dengan gelaran berpotensi ditentukan pada Perlumbaan Sprint.

"Melihat kepada kedudukan, Martin mempunyai peluang lebih baik, tetapi segala-galanya belum pasti sehingga bendera penamat dikibarkan," kata Lorenzo yang juga juara dunia dua kali MotoGP kepada Motosprint.

"Jorge perlu melakukan banyak kesilapan untuk tidak memenangi kejuaraan.

"Dia sudah bekerja keras bersama dengan pakar psikologi sukan untuk menenangkan dirinya, tetapi dia akan masih melakukan kesilapan, seperti Bagnaia.

"Ia adalah kejuaraan dunia yang penuh dengan kesilapan, tetapi nampaknya ini adalah tahun Martin dan saya gembira jika ia berlaku, memandangkan dia seorang yang bijak dan berbakat dan layak meraih gelaran MotoGP."

Pusingan terakhir MotoGP berlangsung di Litar Catalunya, Sepanyol selepas venue asal, Valencia berdepan bencana banjir.