JORGE Martin Akui Kecewa Di Pinggir Ducati, Tapi Motivasi Melonjak
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/27/20241 min read


JORGE Martin kembali menunggang Ducati Desmosedici GP24 di Assen, minggu ini, beberapa minggu selepas mencipta sensasi meninggalkan pengeluar Itali itu untuk menyertai Aprilia dalam kempen MotoGP musim depan.
Pendahulu carta kejuaraan MotoGP 2024 dari pasukan satelit Pramac Ducati itu membuat kejutan menyertai Aprilia selepas menyedari 'tewas' dalam pemburuan tempat di Ducati Lenovo kepada Marc Marquez.
Seperti dijangka, ia diikuti pengumuman Ducati Corse mengesahkan kehadiran Marquez ke pasukan 'kilang' jenama itu musim depan beberapa hari kemudian.
Mengakui kecewa dengan apa yang berlaku, tetapi bagi Martin, ia turut memberinya 'ketenangan' yang diperlukan untuk fokus sepenuhnya dalam pemburuan kejuaraan musim ini.
"Betapa banyak beban yang dilepaskan oleh saya selepas mengambil keputusan ini? Banyak," kata Martin memetik laporan media Sepanyol, AS yang diambil oleh GPOne.
"Selepas mencuba selama beberapa tahun untuk menyertai pasukan utama dan akhirnya tidak berjaya, ada sedikit kekecewaan pada awalnya, tetapi ia menjadi motivasi yang saya akan gunakan untuk menang."
Keputusan yang diambil Martin, sehari selepas GP Itali di Mugello berakhir jelas melegakan ramai pihak kerana kebanyakan keputusan membabitkan perpindahan pelumba 'tersekat' berikutan 'perebutannya' dengan Marquez.
Begitupun bagi pelumba kelahiran Sepanyol itu, ia adalah perkara yang biasa.
"Bagi kami apa yang berlaku tidaklah terlalu gila. Mungkin ia nampak lebih besar terutama kepada media atas semua perpindahan yang berlaku tetapi pada akhirnya, ia cuma tandatangan," kata pelumba dengan gelaran Martinator itu.
"Jelas yang pada tahun depan akan ada banyak perubahan, tetapi ia tidak mengubah apa-apa pada musim ini. Kami masih mempunyai perkara penting yang perlu diuruskan dan kami perlu bekerja keras."
