JORGE Martin Akui Kecewa Tinggalkan Ducati, Tak Tolak Akan Kembali
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/30/20241 min read


JORGE Martin akhirnya mengakui 'perpisahan' dengan Ducati sejurus kempen MotoGP musim ini berakhir sebagai sesuatu yang mengecewakan.
Pelumba Pramac Ducati, Martin membuat keputusan meninggalkan pengeluar Itali itu untuk menyertai Aprilia musim depan dan bergandingan bersama seorang lagi pelumba Ducati, Marco Bezzecchi.
Seperti dijangka, Martin membuat keputusan meninggalkan Ducati selepas 'tewas' dalam pemburuan tempat di pasukan 'kilang' Ducati, Ducati Lenovo kepada Marc Marquez.
Apa yang lebih mengecewakan, pelumba kelahiran Sepanyol itu tetap tidak dipilih Ducati sekalipun sedang memimpin carta kejuaraan ketika itu selain bergelar naib juara dunia musim lalu.
Bercakap mengenai perkara itu kepada GPOne ketika World Ducati Week 2024, Martin menjelaskan tiada masalah untuknya kembali bersama Ducati pada masa depan namun mengakui ia keputusan yang mengecewakan.
"Ia cerita yang hebat bersama Ducati dan Pramac. Kami belum melengkapkan perjalanan kami tetapi saya fikir kami sudah bertahun-tahun membangunkan jentera, pasukan dan saya boleh katakan kami membangun bersama-sama" kata Martin.
"Apabila saya tiba, Ducati bukan jentera terbaik, ia belum lagi memenangi gelaran. Tetapi dengan Pecco, Enea dan saya juga, saya fikir projek ini berkembang.
"Mengecewakan saya tidak boleh kekal, tetapi saya gembira untuk berada di sini. Ini mungkin bukan WDW terakhir saya, mungkin saya akan kembali di masa depan, tetapi ketika ini, inilah yang berlaku."
Martin melepaskan takhtanya sebagai pendahulu kejuaraan MotoGP 2024 kepada Francesco Bagnaia selepas terjatuh pada Grand Prix Jerman sebelum rehat musim panas lalu.
Menuju aksi di Silverstone, Martin mengakui motivasinya sudah kembali.
"Saya fikir saya sudah pun bersedia di Jerman, apabila saya mendapat kontrak bersama Aprilia dan segala-galanya jelas, saya amat kuat, lebih daripada sesiapa saja," kata Martin.
"Saya melakukan kesilapan, tetapi saya perlu belajar daripada kesilapan itu. Perkara paling penting adalah berada di tahap tertinggi dan saya merasa bagus ketika ini."
