JORGE Martin Akui Tak Mampu Halang Kemenangan 'The Beast'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/5/20241 min read


JORGE Martin akur sekalipun tanpa kesilapan, dia masih tidak mampu untuk menghalang kemenangan Enea Bastianini di perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) British 2024 di Silverstone, semalam.
Selepas tewas kepada pelumba Ducati Lenovo itu pada aksi Sprint, Martin dari Pramac Ducati yang menggunakan jentera sama Ducati GP24 sekali lagi terpaksa berpuas hati melepasi garisan penamat di belakang Bastianini pada Perlumbaan utama.
Tampak cukup yakin ketika menghambat Francesco Bagnaia sebelum memimpin perlumbaan, pelumba kelahiran Sepanyol itu kemudian melihat dirinya 'diburu' Bastianini dengan kesilapan pada baki dua pusingan menyaksikan peluangnya bergelar juara hilang.
Dan menariknya, sekalipun tidak melakukan kesilapan, Martin akur yang kemenangan Bastianini tidak boleh dihalang.
"Dari sudut saya, saya tidak merasa bagus dengan keyakinan di bahagian depan sepanjang minggu," kata Martin. "Saya banyak bergelut. Hari ini (semalam) kami melakukan langkah yang kecil dan saya fikir kami masih mencari pelarasan asas kami.
"Saya tidak faham mengapa kami sentiasa berubah daripada Sabtu ke Ahad tetapi hari ini lebih baik, tetapi saya masih belum merasa 100 peratus dan ia bergerak sedikit.
"Di belakang Pecco, saya sebenarnya merasa bagus tetapi apabila saya berada di depan saya bergelut untuk menghentikan jentera saya.
"Apabila saya melihat Enea menghampiri saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkannya di belakang saya tetapi saya melakukan kesilapan. Tetapi saya fikir keputusan akan tetap sama (tanpa kesilapan)."
Mengulas lanjut, Martin yang sah angkat kaki daripada Ducati ke Aprilia musim depan berkata dia perlu mendapatkan lebih keseimbangan terutama membabitkan keputusan.
"Saya fikir sama ada Sachsenring tidak begitu buruk, atau di sini bukan hari terbaik," kata Martin. "Kami perlu mendapatkan keseimbangan sepanjang musim dan saya fikir kami melakukan kerja yang menakjubkan.
"Rehat musim panas bukan yang terbaik kerana saya meresa kurang gembira. Tetapi melakukan keputusan yang baik seperti ini adalah menakjubkan dan tempat kedua adalah yang maksimum.
"Saya cuba untuk mendapatkan perlumbaan yang bijak dan menguruskan perkara. Kelajuan ada dan saya cuba menang tetapi Enea berjaya mengejar saya.
"Saya cuba untuk untuk kekal bersamanya tetapi adalah mustahil untuk menewaskannya. Dia berada pada tahap yang berbeza hari ini (Semalam)," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu.
