JORGE Martin Akui Tiada Peluang Nak Kalahkan Pecco Di Assen

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/1/20241 min read

JORGE Martin menyuarakan hakikat pahit apabila mengakui tidak berpeluang untuk mengalahkan Francesco Bagnaia di Assen terutama selepas dikenakan penalti yang meletakkannya di petak ke-5 pada perlumbaan MotoGP, semalam.

Sebagai info, Martin dikenakan penalti susulan kesalahan yang dibuatnya ketika Kelayakan 2 iaitu dengan sengaja memperlahankan jentera yang mengganggu pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez.

Sekalipun jatuh ke petak ke-5 (berbanding 2), pelumba pasukan Pramac Ducati itu berjaya meletakkan dirinya di kedudukan kedua di belakang Bagnaia hampir keseluruhan perlumbaan.

Tetapi baginya, ia tidak mencukupi untuk menewaskan pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo itu yang memperoleh minggu 'sempurna' di Assen dan penalti itu tidak memberikan kesan yang besar.

"Ia minggu yang sukar, sekurang-kurangnya pada Jumaat dan pagi Sabtu untuk mengubah segala-galanya," kata Martin yang dilihat menjadi satu-satunya pelumba yang mampu memberikan cabaran kepada Pecco.

"Podium semalam (Sprint), perasaannya tidak menakjubkan tetapi saya tiada alasan dan mengucapkan tahniah kepada Pecco.

"Dia berada pada tahap yang berbeza. Saya merasa cukup bagus seperti saya berlumba dengan cukup-cukup baik. Saya melihat kepada catatan sepusingan dan menakjubkan betapa pantas kami berlumba.

"Lebih daripada itu dia (Pecco) masih menjarakkan dirinya dalam setiap pusingan. Saya amat gembira dan saya merasakan yang saya menambahbaik gaya tunggangan saya dengan banyak pada minggu ini serta perasaan saya.

"Ia masih tidak mencukupi tetapi saya gembira dengan podium ke-50 karier saya."

Mengulas mengenai penalti yang dikenakan kepadanya, pelumba kelahiran Sepanyol yang masih memimpin carta pelumba itu mengakui ia tidak memberikan perubahan yang besar.

"Saya tidak fikir seperti itu. Saya tidak fikir yang saya ada peluang pada minggu ini untuk menjadi juara," kata Martin. "Ketika kelayakan saya hampir dan mungkin saya boleh meningkat sedikit tetapi ketika perlumbaan ia mustahil.

"Pecco di tahap yang berbeza. Mungkin saya perlu cuba melakukan gerakan pada awal perlumbaan tetapi agak merepek untuk bercakap mengenai perkara ini."