JORGE Martin Bangkit Takluk Mandalika
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/29/20242 min read


JORGE Martin mengetepikan kekecewaannya, semalam dengan menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Indonesia 2024 dan dilakukan dengan penuh bergaya mendahului dari awal aksi di Mandalika hingga penamat.
Memulakan perlumbaan di petak kedua, Martin daripada pasukan Pramac Racing berdepan situasi mengecewakan pada Perlumbaan Sprint semalam apabila terjatuh di awal perlumbaan.
Dan pelumba kelahiran Sepanyol itu gagal mengutip sebarang mata kejuaraan sebelum mengumpul semua mata maksimum yang turut mengukuhkan kedudukannya di puncak carta kejuaraan.
Menamatkan perlumbaan di tempat kedua adalah pelumba 'Rookie' tunggal MotoGP musim ini, Pedro Acosta daripada pasukan Tech3 GASGAS.
Pemenang Perlumbaan Sprint semalam, Francesco Bagnaia daripada Ducati Lenovo melengkapkan kedudukan podium.
Kemenangan di Mandalika pada perlumbaan utama menyaksikan Martin kembali memperoleh kelebihan 21 mata daripada Bagnaia.
Kedudukan kedua Acosta dalam pada itu masih belum selamat selepas juara dunia Moto2 musim lalu itu turut sedang dalam penilaian steward MotoGP atas kesalahan pelanggaran peraturan had tekanan tayar.
Jika didapati bersalah, Acosta berkemungkinan kehilangan tempatnya di podium berikutan penalti 16 saat untuk kesalahan berkenaan.
Secara keseluruhan, hanya 12 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan di Mandalika dan antara yang terjatuh atau mengalami masalah jentera termasuklah dua pencabar kejuaraan, Enea Bastianini daripada Ducati Lenovo dan pelumba Gresini Ducati, Marc Marquez.
Bermula di petak ke-12, Marquez bermula dengan baik namun terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal susulan masalah jentera.
Apa yang berlaku kepada Bastianini lebih mengecewakan apabila pelumba Itali itu terjatuh ketika di posisi podium.
Rakan sepasukan Martin, Franco Morbidelli menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4 namun boleh menaiki podium jika Acosta sah dikenakan penalti yang juga kedudukan podium pertamanya sejak 2021.
Sementara itu, pelumba terbaik pengeluar Jepun diraih pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo yang menamatkan aksi di tempat ketujuh.
Keputusan perlumbaan MotoGP GP Indonesia 2024
Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati, (GP24)
Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3, (RC16)
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo, (GP24)
Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati, (GP24)
Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati, (GP23)
Maverick Viñales (SPA) Aprilia Factory, (RS-GP24)
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha, (YZR-M1)
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM, (RC16)
Johann Zarco (FRA) LCR Honda, (RC213V)
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia, (RS-GP24)
Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda, (RC213V)
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha, (YZR-M1)
Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo, (GP24)
Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3, (RC16)
Joan Mir (SPA) Repsol Honda, (RC213V)
Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati, (GP23)
Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati, (GP23)
Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati, (GP23)
Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Factory, (RS-GP24)
Jack Miller (AUS) Red Bull KTM, (RC16)
Luca Marini (ITA) Repsol Honda, (RC213V)
