JORGE Martin Cipta Kejutan, Malang Menimpa Marc Marquez
Selepas bergelut dengan kelajuan jentera Aprilia RS-GP26 pada sesi Jumaat, segala-galanya berubah buat Jorge Martin apabila dia melakukan permulaan sempurna untuk memintas kelompok hadapan di beberapa selekoh awal perlumbaan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/8/20261 min read


PELUMBA Aprilia, Jorge Martin mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila muncul juara perlumbaan Ssprint Grand Prix (GP) Perancis meskipun terpaksa bermula dari petak ke-8 di Le Mans ketika pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez berdepan kemalangan ngeri.
Selepas bergelut dengan kelajuan jentera Aprilia RS-GP26 pada sesi Jumaat, segala-galanya berubah buat Martin apabila dia melakukan permulaan sempurna untuk memintas kelompok hadapan di beberapa selekoh awal saingan.
Dan juara dunia MotoGP 2024 itu terus selesa mendominasi perlumbaan sehingga ke bendera penamat dikibarkan, sekali gus merekodkan kemenangan Sprint ke-18 dalam kariernya dan yang kedua bagi musim ini dengan kelebihan 1.107 saat (s) di depan rakan sepasukan Marquez, Pecco Bagnaia.
Rakan sepasukan Martin, Marco Bezzecchi melengkapkan kedudukan podium.
Perlumbaan begitupun boleh diibaratkan sebagai mimpi ngeri buat Marquez yang bermula di petak kedua apabila dia perlahan-lahan tercicir ke belakang sebelum jentera Ducati GP26 miliknya hilang cengkaman di selekoh 13, lalu mengakibatkannya tercampak di udara (highside).
Dalam pada itu, pelumba KTM, Pedro Acosta berjaya menamatkan saingan di tempat keempat, diikuti bintang Yamaha, Fabio Quartararo di tempat kelima yang cemerlang mengekang asakan pelumba Honda, Joan Mir.
Pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura untuk naik ke tangga ketujuh, manakala Alex Marquez (Gresini Ducati) kelapan, dan mata terakhir diraih oleh 'rookie' musim ini, Diogo Moreira (LCR Honda).

