JORGE Martin Cipta 'Magik' Di Misano, Tapi Akui Pelumba 'Factory' Tiada Tanggungjawab Julang Gelaran Dunia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/11/20232 min read
JORGE Martin mencipta 'minggu sempurna' di Misano selepas menampilkan penguasaan penuh dengan memenangi kedua-dua perlumbaan - Sprint dan utama - di Grand Prix San Marino.
Selepas menguasai sesi kelayakan dan merangkul petak utama, pelumba pasukan satelit Ducati (Pramac) itu menjuarai Perlumbaan Sprint pada Sabtu sebelum mengulangi kejayaan sama di perlumbaan utama.
Kemenangan berganda itu menyaksikan Martin berterusan memberikan tekanan kepada pendahulu kejuaraan Francesco Bagnaia namun sebagai pelumba yang tidak beraksi bersama pasukan utama, jaguh kelahiran Sepanyol itu mendedahkan dia tidak mempunyai tanggungjawab untuk memberikan Ducati kejuaraan dunia.
Dan lebih menarik, ia bukanlah disebabkan dia tidak mahu menjulang gelaran dunia MotoGP 2023, tetapi disebabkan statusnya bersama Ducati.
Sekalipun berlumba di pasukan satelit, Martin menunggang jentera 'factory' yang sama digunakan Bagnaia. Setakat ini, tiada pelumba pasukan satelit memenangi kejuaraan dunia dalam era MotoGP.
"Sasaran saya adalah memenangi perlumbaan," kata Martin. "Saya bukan pelumba pasukan 'factory' jadi saya tak diberikan sasaran untuk menjulang kejuaraan. Saya tidak mempunyai tanggungjawab itu.
"Sudah tentu, jika saya mempunyai peluang, seperti yang saya miliki sekarang, jadi saya akan cuba dan melakukannya. Hari saya akan tiba apabila saya pelumba pasukan utama.
"Tetapi ketika ini saya tidak. Tetapi ia bukan bergantung kepada saya."
Mengulas lanjut, Martin berkata sasaran untuk memenangi gelaran dunia masih bergantung kepada dirinya dan kekal sebagai impiannya dan akan melakukannya jika berpeluang.
"Jika saya boleh melakukannya, saya akan mengambilnya. Saya tidak obses mengenai perkara itu. Saya merasakan seperti hari saya akan tiba satu hari nanti dan berharap saya akan menjadi pelumba 'factory' tidak lama lagi."
Selepas 12 pusingan perlumbaan berlangsung, Bagnaia kekal di puncak kejuaraan selepas mengumpul keseluruhan 283 mata dengan Martin kedua dengan 247 mata.
Saingan MotoGP 2023 kini berbaki lapan pusingan termasuk GP Malaysia yang dijadial pada November depan.
Keputusan Perlumbaan (Utama) GP San Marino 2023
1. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23), 41m 33.421s
2. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +1.350s
3. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23), +3.812s
4. Dani Pedrosa (SPA) Red Bull KTM (RC16), +4.481s
5. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +10.510s
6. Miguel Oliveira (POR) RNF Aprilia (RS-GP22), +12.274s
7. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V), +13.576s
8. Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22), +14.091s
9. Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +14.982s
10. Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23), +15.484s
11. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP22), +15.702s
12. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +15.878s
13. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +15.898s
14. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +23.778s
15. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1), +24.579s
16. Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)*, +31.230s
17. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22), +32.537s
18. Stefan Bradl (GER) LCR Honda (RC213V), +35.330s
19. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +43.601s
Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16), DNF
Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF
Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), DNF
Michele Pirro (ITA) Aruba.it Ducati (GP23), DNF
Sumber imej: FB Pramac Racing