JORGE Martin Dah Hilang Sabar, Beri Tarikh Akhir Kepada Ducati

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/19/20241 min read

PENDAHULU kejuaraan MotoGP musim ini, Jorge Martin memberikan tarikh akhir kepada Ducati untuk membuat keputusan sama ada dia akan menyarung sut lumba berwarna merah musim depan atau tidak.

Martin dari Pramac Ducati, Marc Marquez (Gresini Ducati) dan Enea Bastianini ketika ini didakwa berada dalam senarai pendek Ducati Corse untuk menjadi rakan sepasukan Francesco Bagnaia musim depan.

Selepas dua kali 'disisihkan', Martin tidak lagi berselindung akan meninggalkan pengeluar itu musim depan jika dia tidak menyertai pasukan 'kilang' tahun depan.

Dan tidak lagi mahu menunggu, pelumba kelahiran Sepanyol itu meletakkan tempoh sehingga 2 Jun depan kepada Ducati untuk memutuskan sama ada dia 'dinaikkan pangkat' atau tidak, menurut laporan Motosport.

Lebih menarik, tarikh berkenaan adalah sejurus Pusingan ke-7 MotoGP Grand Prix Itali di Mugello berakhir.

Menurut laporan, jika Ducati masing ingin bermain tarik tali, Martin dikatakan sudah pun memberitahu Ducati pihaknya akan memulakan perbincangan dengan KTM.

KTM ketika ini sudah mempunyai dua pelumba yang memiliki kontrak sehingga 2025 dan pengeluar Austria itu sudah pun menegaskan Marquez bukan calon realistik buat mereka.

Tetapi pengeluar itu tidak menolak jika Martin yang juga naib juara MotoGP tahun lalu ingin menyertai mereka.

Martin sebelum ini pernah menyertai KTM dalam kempen Moto2 namun meninggalkan pengeluar itu apabila menyertai kempen elit MotoGP.

Tetapi KTM menegaskan mereka tidak berdendam.

"Perkara ini sudah berlalu," kata Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer kepada Motorsport. "Sesiapa saja yang mengenali kami tahu betapa emosinya kami dan kesedihan kami boleh seperti orang mati.

"Apabila seseorang meninggalkan kami seperti itu, kami cukup terasa kerana kami mencurahkan segala-gala kepadanya. Tetapi Martin melakukan segala-galanya dengan betul untuk kariernya dan dia kini adalah pencabar kejuaraan."