JORGE Martin Dah Nampak 'Sinar' Tapi...
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/21/20252 min read


PENYANDANG juara dunia MotoGP, Jorge Martin mengakui dia sudah mula melihat 'sinar' selepas dipalit kekecewaan susulan kemalangan serius yang memaksanya 'berehat' daripada beraksi di trek.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu mengalami kecederaan di kaki kiri dan kanan akibat kemalangan di Sepang ketika ujian pra-musim sebelum kecederaannya bertambah susulan kemalangan ketika latihan supermoto seminggu sebelum Grand Prix Thailand.
Dalam satu video yang dipaparkan di laman media sosialnya, Martin yang berlumba bersama pasukan Aprilia Racing mengakui apa yang dialaminya sebagai sukar untuk diterima secara mental namun menjelaskan situasi sudah semakin baik.
"Saya menghasilkan video ini untuk memberikan kamu perkembangan mengenai kecederaan saya," kata Martin.
"Sejujur-jujurnya, beberapa minggu lalu agak sukar, saya banyak bergelut, kerana itu saya tidak begitu aktif di media sosial.
"Seperti kamu tahu, saya berdepan kecederaan pertama di Malaysia, selepas itu saya pulih dengan agak pantas, saya mula berlatih lagi dan kemudian saya berdepan impak yang besar ketika berlatih supermoto, ia lebih teruk.
"Ia benar-benar tempoh yang sukar, tetapi kini saya mula melihat kembali sinar."
Martin berkata, kecederaan paling serius dihadapinya adalah di bahagian pergelangan tangan kiri tetapi kecederaan tambahan di kaki dan rusuk mengakibatkan proses pemulihan menjadi tambah rumit.
"Kecederaan paling serius saya hadapi adalah di bahagian 'radius' dan 'scaphoid' (pergelangan tangan kiri), dan sebagai tambahan, saya mengalami empat patah di bahagian kaki kiri dan juga kecederaan otot di rusuk," kata Martin.
"Jadi sudah tentu, ia bukan kecederaan yang kecil.
"Jika ada sesuatu perkara yang saya boleh kata, ia adalah saya akan memberikan 100 peratus untuk kembali ke tahap terbaik saya, saya akan memberikan 100 peratus untuk belajar daripada kesilapan dan saya sentiasa cuba, dan akan kembali secepat yang mungkin."
Martin berkata sasarannya adalah untuk kembali berlumba di GP Qatar yang dijadual pada 11 hingga 13 April tetapi mengakui ia masih belum diputuskan.
"Saya benar-benar berusaha keras untuk pulih. Saya tidak tahu dengan tepat bila saya akan kembali, sudah tentu tidak di Austin, rancangannya adalah untuk berada di Qatar, tetapi tiada apa yang sudah ditentukan. Jadi saya masih tidak tahu.
"Saya amat tidak sabar untuk menyertai pasukan saya, menyertai Aprilia semula, untuk menunggang jentera yang hebat itu. Jadi ituy saya yang boleh saya katakan.
"Saya minta maaf atas semua masa yang hilang, tetapi saya fikir saya mula merasa sedikit baik, saya mula kembali berlatih, keadaan saya menjadi semakin baik dengan pantas berbanding di awal kecederaan, jadi saya harap untuk melihat kamu semua tidak lama lagi di trek."
