'JORGE Martin, Ducati Corse Bincang Sejurus GP Itali Berakhir'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/31/20241 min read

JORGE Martin ketika ini boleh diletakkan sebagai pilihan utama untuk mengisi kekosongan di Ducati Lenovo apabila mendedahkan perbincangan bersama Ducati Corse akan berjalan selepas berakhirnya GP Itali 2024, hujung minggu ini.

Martin dari Pramaci Ducati sedang memimpin carta pelumba kejuaraan dunia MotoGP musim ini dengan kelebihan agak besar, dan dijangka akan kekal di posisi itu sekalipun tidak meraih kemenangan di Mugello.

Selain daripada GP Amerika, pelumba kelahiran Sepanyol itu sentiasa berada di podium untuk setiap pusingan termasuk menang di Portimao dan Le Mans, kemenangan Sprint di Qatar, Jerez dan juga Le Mans.

Malah pelumba berusia 26 tahun itu boleh merangkul gelaran berganda di Jerez jika tidak terjauh ketika sedang memimpin perlumbaan.

Bersaing sengit dengan Marc Marquez untuk mengisi tempat selaku rakan sepasukan Francesco Bagnaia di Ducati Lenovo musim depan, kenyataan terbaharu Martin seperti menjelaskan dia adalah calon utama bagi posisi itu.

"Media dan wartawan sentiasa membuat spekulasi jadi kamu perlu memberikan maklumat ini dan ia adalah sebahagian daripada tugas mereka," kata Martin.

"Tugas saya adalah untuk menunggang jadi saya akan cuba menjadi benar-benar fokus. Seperti saya katakan sebelum ini, ia benar-benar minggu yang penting untuk pasukan saya dan untuk Ducati jadi saya akan betul-betul fokus mengenainya.

"Isnin, Selasa - kami akan mempunyai masa untuk berbincang dan lihat apa yang berlaku."

Mengulas aksi di Mugello, Martin berharap dia dapat menewaskan Bagnaia selepas dia sekadar menamatkan aksi sebagai naib juara di Catalunya di belakang pelumba Itali itu.

Dan Bagnaia sememangnya cukup 'padu' di laman sendiri selepas turut memenangi aksi di Mugello musim lalu dengan Martin di kedudukan kedua.

"Ia akan menjadi minggu yang amat penting," kata Martin. "Ia adalah GP laman sendiri untuk pasukan saya dan juga laman sendiri untuk Ducati.

"Saya juga mahu memperbaiki keputusan di sini. Ia tidak akan menjadi minggu yang mudah tetapi saya dapat memperbaiki aksi daripada Sabtu ke Ahad dengan agak banyak.

"Saya fikir saya kini fokus sepenuhnya untuk minggu ini dan memahami apa yang kami perlukan. Musim lalu saya di kedudukan kedua, jadi harapnya saya dapat merapatkan jurang dengan Pecco, yang saya fikir pilihan."