JORGE Martin, Enea Bastianini Dalam Radar Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/8/20241 min read

JORGE Martin dan Enea Bastianini menjadi dua nama besar di MotoGP yang berada dalam radar Yamaha bagi kempen 2025.

Pengeluar Jepun itu ketika ini hanya mempunyai dua jentera di kempen MotoGP yang ditunggang Fabio Quartararo serta Alex Rins dan bukan rahsia pasukan itu mahu menambah jumlah jentera musim depan.

Selepas mencapai salah satu objektif iaitu mengekalkan bintangnya Quartararo, Yamaha dikatakan masih beberapa lagi senarai 'perlu dibuat' bagi menghadapi musim depan, menurut laporan GPOne.

Dan salah satu daripadanya adalah mencari rakan sepasukan Quartararo dengan dua pelumba Ducati, Jorge Martin dan Enea Bastianini berada dalam senarai berkenaan.

Martin yang juga pendahulu kejuaraan MotoGP musim ini secara terang-terangan mahu menunggang jentera 'Factory' musim depan. Justeru, jika impian pelumba Sepanyol itu tidak dilaksanakan oleh Ducati, peluang untuknya menyertai pasukan lain jelas besar.

Bagi Bastianini, peluangnya untuk menyertai Yamaha akan terbuka jika Martin dinaikkan pangkat ke pasukan utama Ducati dan turut dilaporkan, kedua-dua pengeluar itu sudah pun menjalani perbincangan di Portugal.

Selain pelumba, Yamaha juga dikatakan sedang 'memburu' pasukan satelit bagi musim depan selepas 'berpisah' dengan Petronas SRT sebelum ini.

Dan menariknya, pasukan Pramac Racing menjadi antara pasukan yang disebut-sebut mengisi tugas berkenaan sekalipun memiliki hubungan cukup baik dengan Ducati.

Sekalipun Pengurus pasukan Pramac, Gino Borsoi menegaskan pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan Ducati, belum ada sebarang 'hitam putih' ditandatangani setakat ini.

Seperti biasa, soal kewangan dikatakan akan menjadi daya tarikan menarik sekalipun pasukan itu tidak lagi mendapat jentera yang mampu bersaing secara kompetitif.

Satu lagi pasukan yang dikaitkan dengan Yamaha adalah pasukan milik legenda Itali, Valentino Rossi iaitu VR46.

Seperti Pramac Racing, VR46 Racing juga ketika ini masih belum memutuskan sama ada akan kekal bersama Ducati selepas musim ini berakhir dengan pasukan itu menggunakan tidak disediakan dengan jentera spesfikasi utama.

Sekalipun Pengurus pasukan VR46, Uccio Salucci pernah berkata pasukan itu akan menandatangani kontrak baharu bersama Ducati sebelum aksi di Qatar, tetapi ia tidak berlaku.

Pemilik VR46, Rossi seperti diketahui adalah antara legenda Yamaha dan menariknya masih bergelar duta kepada pengeluar Jepun itu ketika ini.